Lori batu dan treler antara tiga kenderaan disita bawa muatan lebih had

24 Aug 2026 • 7:07 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Lori batu dan treler antara tiga kenderaan disita bawa muatan lebih had
Treler membawa besi bar antara yang disita dalam Ops Rentas Sempadan. FOTO: FB JPJ Pahang
Image from: Lori batu dan treler antara tiga kenderaan disita bawa muatan lebih had
Antara lori bawa muatan batu yang ditahan. FOTO: FB JPJ Pahang

KUANTAN - Dua lori dan sebuah treler disita selepas didapati membawa muatan melebihi 50 peratus daripada had yang dibenarkan dalam Ops Rentas Sempadan di sempadan daerah Kuantan dan Kemaman di sini.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang, Syed Ahmad Khirulanwar Alyahya Syed Abdul Rahman berkata, lori membawa muatan batu dan treler dengan muatan besi bar itu telah disita di bawah Seksyen 80(1) Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 untuk tindakan lanjut

Menurutnya, tiga kenderaan perdagangan disita itu antara 43 kes kesalahan membawa muatan berlebihan direkodkan dalam operasi selama tiga hari, bermula dari 18 hingga 20 Ogos lalu.

"Sepanjang operasi bersama JPJ Negeri Terengganu itu, 316 kenderaan diperiksa dan 112 daripadanya telah diambil tindakan atas pelbagai kesalahan.

"Daripada jumlah tersebut, 122 notis saman dan 180 lain-lain notis dikeluarkan atas pelbagai kesalahan," katanya melalui kenyataan pada Isnin.

**media[3625050]**

Syed Ahmad Khirulanwar Alyahya berkata, pelaksanaan operasi menyasarkan kenderaan perdagangan yang membawa muatan berlebihan itu sebahagian usaha berterusan JPJ Pahang dan Terengganu bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan pengangkutan jalan, khususnya berkaitan had muatan kenderaan perdagangan.

Beliau berkata, tindakan penguatkuasaan secara berterusan akan terus dilaksanakan bagi membendung kesalahan membawa muatan berlebihan yang boleh menjejaskan kestabilan kenderaan serta menyumbang kepada kerosakan jalan raya, sekali gus meningkatkan risiko keselamatan kepada pengguna jalan raya.

"Semua pengusaha dan pemilik kenderaan perdagangan diminta agar sentiasa mematuhi had muatan yang ditetapkan demi menjamin keselamatan semua pengguna jalan raya," ujarnya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved