Pahang intai tarik pelaburan teknologi kenderaan autonomi, umpama 'Volkswagen kuning' di Karak

LocalTechnology
22 Aug 2026 • 12:38 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pahang intai tarik pelaburan teknologi kenderaan autonomi, umpama 'Volkswagen kuning' di Karak
Mohamad Nizar. Foto: ASRIL ASWANDI SHUKOR

SHAH ALAM - Pahang mengintai peluang menarik pelaburan dalam teknologi kenderaan autonomi sebagai antara sektor industri masa depan yang berpotensi dikembangkan, khususnya di Pekan yang mempunyai asas kukuh sebagai bandar automotif.

Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, Datuk Mohamad Nizar Mohamad Najib berkata, antara teknologi yang sedang diberi perhatian ialah 'autonomous vehicle' yang berpotensi dikembangkan khususnya di Pekan.

Beliau berkata, Pekan mempunyai asas sebagai bandar automotif, selain Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang turut menjalankan kajian berkaitan automotif dan kenderaan autonomi.

"Autonomous vehicle. Fikir pernah tengok kan, kereta yang boleh pandu sendiri. Nampak, nampak macam Volkswagen kuning di Karak tu.

“Tapi sebenarnya ada komputer yang 'control'," katanya pada Program Town Hall Rakyat yang dihoskan pelakon popular, Fikry Ibrahim di Dewan Karangkraf di sini pada Jumaat

Beliau berkata, perkembangan kenderaan autonomi tidak boleh dipandang ringan kerana teknologi itu dijangka semakin digunakan dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

"Sebab benda ini, suka tak suka, akan kita temui dalam masa terdekat ni. Mungkin dalam dua tahun, lima tahun, kita tak tahu.

"Dan kalau kita boleh bina ekosistem tersebut, adalah lebih baik untuk Negeri Pahang sebab kita ada asas itu," ujarnya lagi.

Menurutnya, Pahang mahu melihat bagaimana pelaburan syarikat kenderaan autonomi boleh ditarik masuk ke negeri itu.

"Kalau kita boleh tarik pelaburan sebegini adalah lebih baik untuk negeri Pahang. Syarikat di, kilang di Pekan mungkin yang boleh buat AV, autonomous vehicle," tambah.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri turut memberi tumpuan kepada pelaburan dalam advanced materials seperti 'graphene', 'lithium' dan 'carbon fiber'.

Katanya, Pahang juga melihat peluang dalam sektor tenaga boleh diperbaharui, ekopelancongan, keterjaminan makanan, pembangunan berorientasikan transit serta industri mobiliti.

Beliau berkata, terdapat juga cadangan pelaburan berkaitan nanoteknologi yang berpotensi memberi manfaat kepada sektor pertanian, termasuk teknologi nano dalam baja yang didakwa mampu mengurangkan penggunaan input sehingga 50 peratus.

"Bayangkan berapa banyak kos baja kita boleh jimat daripada kita import daripada China, daripada Timur Tengah dan sebagainya. Kita boleh ada keterjaminan makanan di situ,” katanya.

Jelasnya, usaha menarik pelaburan teknologi baharu itu penting bagi memastikan Pahang bukan sahaja bergantung kepada sektor tradisional, sebaliknya bersedia menghadapi perubahan industri dan teknologi pada masa depan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved