Pantau trak pikap bawa durian dipandu laju

17 Aug 2026 • 8:36 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Pantau trak pikap bawa durian dipandu laju

Saudara Pengarang,

SAYA adalah antara penduduk di Raub, Pahang yang sering berulang alik ke daerah Bentong atas urusan kerja setiap hari.

Seperti yang semua maklum daerah Raub dan Bentong merupakan antara pengeluar durian termasuk musang king yang mendapat banyak permintaan daripada penggemarnya kerana kualitinya yang tinggi berbanding durian lain.

Musim durian pada kali ini agak panjang dan sehingga hari ini raja buah itu masih lagi ada dijual di kedua-dua daerah berkenaan.

Di sebalik kemanisan rasa durian dan kegembiraan penggemarnya serta senyuman manis para penjual, sebagai penduduk di sini kami sebaliknya berasa bimbang dengan keselamatan kami setiap kali tiba musim durian.

Ini kerana, banyak berlaku kemalangan melibatkan trak pikap yang membawa durian disebabkan kenderaan tersebut dipandu laju dan membahayakan pengguna jalan raya lain.

Keadaan itu bagaikan bom jangka setiap kali tiba musim durian dan keadaan ini menunjukkan kelalaian di pihak pemborong raja buah itu yang tidak menghiraukan keselamatan orang lain.

Baru-baru ini di kawasan Mempaga, kemalangan jalan raya melibatkan kenderaan pikap membawa durian telah mengorbankan seorang lelaki yang maut meninggalkan isteri dan anak-anak yang masih kecil.

Saya agak pelik kenapa trak pikap durian mesti dipandu laju dan membahayakan pengguna jalan raya lain.

Perkara ini sememangnya sudah menjadi buah mulut penduduk setempat sehingga ada yang sanggup berhenti di tepi jalan setiap kali ternampak trak pikap durian.

Di sini saya berharap pihak berkuasa terbabit termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dapat mengambil tindakan segera dan tegas.

Mungkin hukuman lebih berat dan juga alat penetapan had laju perlu diletakkan di trak pikap membawa durian seperti mana lori-lori besar kerana melibatkan nyawa.

Penduduk resah
Bentong, Pahang

The post Pantau trak pikap bawa durian dipandu laju appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved