
KUALA LUMPUR – Lotus’s Malaysia memohon maaf secara terbuka kepada pelanggan, isterinya serta keluarga mereka susulan insiden melibatkan seorang wanita hamil yang tular selepas ditahan di cawangan Selayang kerana disyaki mencuri.
Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat itu memaklumkan siasatan dalaman berhubung insiden berkenaan telah selesai dijalankan dan mendapati cara kes itu dikendalikan tidak memenuhi standard layanan serta perkhidmatan yang sepatutnya diberikan kepada pelanggan.
Menurut Lotus’s Malaysia, tiada pelanggan seharusnya melalui pengalaman sedemikian ketika membeli-belah di premis mereka.
“Kepada pelanggan, isteri beliau serta keluarga mereka, kami ingin memohon maaf atas insiden yang telah berlaku. Tiada pelanggan sepatutnya melalui pengalaman sedemikian ketika membeli-belah bersama kami. Kami amat kesal atas pengalaman yang telah mereka lalui.
“Kami juga telah menghubungi keluarga tersebut secara langsung dan kekal komited untuk mendapatkan semula kepercayaan mereka,” menurut kenyataan itu.
Lotus’s turut memaklumkan tindakan tatatertib yang sewajarnya telah diambil terhadap individu terlibat selaras dengan dasar dalaman syarikat.
View this post on Instagram
Pada masa sama, syarikat itu memaklumkan garis panduan, prosedur dan latihan kepada kakitangan telah diperkukuhkan bagi memastikan standard perkhidmatan dipatuhi serta mengelakkan kejadian sama daripada berulang.
Bagaimanapun, Lotus’s melahirkan rasa kesal apabila pekerja yang terlibat bersama ahli keluarga terdekat mereka menjadi sasaran gangguan dan ugutan secara dalam talian susulan insiden berkenaan.
Sehubungan itu, syarikat berkenaan menyeru orang ramai agar menghormati privasi, kesejahteraan dan maruah semua individu yang terlibat serta membenarkan perkara itu diselesaikan dengan penuh persefahaman dan ihsan.
Menurut Lotus’s, insiden tersebut menjadi peringatan kepada syarikat mengenai kepentingan melayan setiap pelanggan dengan empati, hormat dan bermaruah.
“Kami kekal komited untuk mengambil iktibar daripada pengalaman ini, terus menambah baik mutu perkhidmatan kami, serta terus berusaha meraih kepercayaan yang diberikan oleh pelanggan kepada Lotus’s setiap hari,” katanya.
Terdahulu, media sosial kecoh dengan perkongsian seorang lelaki yang mendakwa isterinya yang sedang hamil 38 minggu ditahan selepas selesai membuat pembayaran di sebuah cawangan Lotus’s di Selayang kerana disyaki menyembunyikan barangan di dalam pakaiannya.
Menurut dakwaan suami wanita itu, kakitangan premis berkenaan turut meminta isterinya menunjukkan Buku Pink sebagai bukti kehamilan sebelum pemeriksaan mendapati tiada sebarang barangan dicuri.






