
KUALA LUMPUR – Perjalanan menuju Perhimpunan RXZ Member 8.0 di Kuala Terengganu bertukar tragedi apabila dua peserta maut dalam dua kemalangan berasingan di Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) berhampiran Maran, Pahang, dalam tempoh kurang empat jam, hari ini.
Kedua-dua mangsa yang menunggang motosikal Yamaha 125ZR disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dalam insiden berasingan yang berlaku pada awal pagi dan lewat pagi, ketika masing-masing dalam perjalanan menghadiri perhimpunan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Maran, Superintendan Wong Kim Wai berkata, kemalangan pertama berlaku kira-kira jam 6.30 pagi di Kilometer (KM) 184.9 LPT arah Kuantan, berhampiran susur keluar Tol Sri Jaya ke Gambang.
Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa berusia 44 tahun yang datang dari Kuala Lumpur dipercayai hilang kawalan sebelum motosikal ditunggangnya terbabas dan terjatuh di lorong kanan lebuh raya.
“Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian mangsa yang gagal mengawal motosikal yang ditungganginya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, Wong berkata, satu lagi kemalangan maut dilaporkan berlaku kira-kira jam 10.10 pagi di KM147.1 LPT arah Kuantan membabitkan sebuah motosikal Yamaha 125ZR dan sebuah pacuan empat roda Mitsubishi Triton.
Katanya, penunggang motosikal dari Temerloh itu dipercayai melanggar bahagian belakang Mitsubishi Triton yang berhenti di lorong kecemasan bagi membantu ahli konvoi yang mengalami kerosakan motosikal.
“Akibat rempuhan itu, penunggang motosikal terbabas dan jatuh ke atas jalan raya sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.
Beliau berkata, pemandu Mitsubishi Triton bersama penumpangnya tidak mengalami sebarang kecederaan. Dalam kedua-dua kes, Wong berkata, setakat ini tiada saksi tampil membantu siasatan dan punca sebenar kemalangan masih dalam siasatan polis.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kemalangan pertama diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik IPD Maran, Inspektor Nurhafizul Abd Halim di talian 010-5752075, manakala maklumat berkaitan kemalangan kedua boleh disalurkan kepada Inspektor Muhaimin Omar di talian 017-9436741 atau hadir ke balai polis berhampiran.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
The post LPT ragut dua nyawa peserta RXZ Member 8.0 appeared first on MYBERITA.




![[VIDEO] Terengganu sambut peserta RXZ Members 8.0, hulur hadiah dari atas jejambat](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/07/WhatsApp-Image-2026-07-31-at-6.57.50-PM-1024x682.jpeg)

