LPT1 sudah ‘makan’ 730 nyawa sejak 2004

2 Sep 2026 • 9:55 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: LPT1 sudah ‘makan’ 730 nyawa sejak 2004

PETALING JAYA – Lebuh raya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) mempunyai ciri-ciri lebuh raya jauh lebih baik berbanding kebanyakan jalan biasa, namun infrastruktur tersebut tidak boleh menghapuskan risiko kemala­ngan antaranya berpunca daripada tingkah laku manusia.

Pengasas dan Penasihat Keselamatan Jalan Raya serta Sukan Permotoran, Persatuan Pakar Keselamatan Jalan Raya (RSEA), Jamil Manan Supri berkata, lebuh raya yang baik boleh mengurangkan risiko, tetapi ia tidak boleh mengawal manusia memandu terlalu laju, mengantuk, hilang fokus, mengekori terlalu rapat atau gagal mengawal kenderaan.

“Kita perlu membezakan antara ‘lebuh raya mempunyai stan­dard keselamatan tinggi’ dengan ‘risiko kemalangan berada pada tahap rendah’.

“Data menunjukkan bahawa sepanjang 20 tahun operasi LPT1 sehingga Disember 2024, seba­nyak 35,551 kemalangan dan 730 kematian telah direkodkan. Ini menunjukkan kita tidak boleh hanya bertanya,

‘Adakah jalan ini selamat?’.

“Sebaliknya kita perlu bertanya, ‘Apakah risiko yang masih wujud di sepanjang lebuh raya ini, siapa yang terdedah kepada risiko tersebut dan mengapa risiko itu masih berlaku berulang kali?’,” katanya kepada Kosmo!.

Beliau berkata, pendekatan keselamatan lebuh raya perlu bergerak daripada sekadar penyelenggaraan infrastruktur dan respons selepas kemalangan kepada pendekatan proaktif berasaskan risiko.

“RSEA tidak mahu menyalahkan lebuh raya semata-mata. Pada masa sama, RSEA juga tidak mahu semua kesalahan diletakkan kepada pengguna jalan raya.

“Keselamatan jalan raya ialah tanggungjawab sistem. Kita perlu melihat lima komponen secara serentak iaitu pengguna, kenderaan, jalan, trafik dan penguatkuasaan,” katanya.

Jamil berkata, RSEA tidak melihat kemalangan maut berpunca daripada satu faktor sahaja, tetapi antaranya, kelajuan, keletihan dan mengantuk, jarak mengikut kenderaan, keadaan kenderaan, perubahan cuaca dan keadaan permukaan jalan serta faktor trafik dan interaksi antara kenderaan.

“Kelajuan adalah faktor yang sering kurang diberikan penekanan. Ia bukan sekadar menentukan sama ada seseorang melanggar had laju atau tidak. Semakin tinggi kelajuan, semakin pendek masa untuk bertindak balas, semakin panjang jarak membrek dan semakin tinggi tenaga hentaman apabila berlaku pelanggaran,” katanya.

Beliau berkata, perjalanan jauh pada waktu malam merupakan risiko yang serius, malah kempen keselamatan LPT sendiri sebelum ini menekankan keperluan pengguna berhenti berehat selepas dua jam perjalanan bagi mengurangkan kemalangan berkaitan keletihan.

Jamil berkata, di lebuh raya, kenderaan bergerak pada kelajuan tinggi dan jika jarak terlalu rapat, sedikit kesilapan atau brek kecemasan kenderaan di hadapan boleh mencetuskan kemalangan berantai, khususnya apabila melibatkan banyak kenderaan.

The post LPT1 sudah ‘makan’ 730 nyawa sejak 2004 appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved