LRA Kogopon: Armizan tempelak Warisan

LocalPolitics
2 Nov 2025 • 11:03 AM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

PAPAR: Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menyifatkan tuduhan Parti Warisan Sabah (Warisan) bahawa GRS gagal menangani masalah air di Papar, sebagai ‘meludah ke langit, kena muka sendiri’.

Ahli Parlimen Papar itu berkata, semasa Warisan berkuasa, mereka gagal memastikan projek Loji Rawatan Air (LRA) Kogopon Fasa 2 dilaksanakan mengikut jadual dan sepatutnya siap pada tahun 2022 lalu.

Katanya, projek bernilai lebih RM300 juta itu tertangguh hingga 2020 di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) dan terpaksa dikaji semula apabila kos meningkat mulai 2021, iaitu tahun pertama Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Menurut beliau, pelaksanaan projek berskala besar itu memerlukan pembiayaan melalui pinjaman mudah Kerajaan Persekutuan, dan Kerajaan Negeri tidak boleh memulakannya selagi Notis Perubahan Kos (NOC) belum dimuktamadkan oleh Kerajaan Persekutuan.

“Persoalannya, apa peranan Ahli Parlimen Papar dari Warisan (Ahmad Hassan) dari tempoh 2018 hingga penghujung 2022 bagi memastikan NOC diselesaikan segera setelah kerajaan Warisan dalam tempoh itu gagal memastikan projek berjalan ikut jadual?“Jika NOC ini diselesaikan masa itu, sudah tentu tiada lagi masalah bekalan air bermula 2023 lalu, namun peliknya GRS pula dipersalahkan dengan tuduhan gagal menyelesaikan isu ini,” katanya dalam satu kenyataan, Sabtu.

Armizan berkata, sebaik beliau diangkat sebagai Ahli Parlimen Papar pada November 2022 lalu, penyelesaian semua masalah legasi yang telah berlarutan di kawasan ini, khususnya bekalan air, menjadi keutamaannya.

Katanya, bermula Januari 2023, beliau bersama wakil rakyat Kawang, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar dan wakil rakyat Limbahau, Datuk Juil Nuatim mengambil inisiatif untuk menoktahkan isu NOC.

Menurutnya, isu NOC akhirnya selesai atas komitmen Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor hingga bukan saja projek bernilai RM366 juta ini mendapat peruntukan, tetapi juga dapat dimulakan segera.

“Pada Ogos 2023, projek naik taraf LRA Kogopon Fasa 2 bermula dan dijangka siap dalam tempoh tiga tahun, iaitu pada Ogos 2026.

“Apabila siap kelak, loji ini akan meningkatkan kapasiti bekalan air kepada 80 JLH (juta liter sehari) berbanding 63 JLH sekarang daripada LRA Kogopon, EWSS Limbahau dan Jetama Limbahau,” katanya.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup itu berkata, kerajaan GRS di bawah pimpinan Hajiji turut meluluskan pembinaan projek muka sauk alternatif tambahan untuk meningkatkan sumber bekalan air di kawasan berkenaan.

Katanya, langkah itu diambil bagi mengatasi ketiadaan sumber air simpanan yang sering menyebabkan gangguan bekalan apabila tahap klorida meningkat di loji sedia ada di Limbahau.

“Prihatin dengan situasi itu, Ketua Menteri meluluskan serta-merta pembinaan muka sauk baharu di Kampung Kabang bagi menambah sumber air mentah. Projek yang bermula pada Mac tahun ini kini siap hampir 37 peratus dan dijangka siap tahun depan.

“Muka sauk baharu ini akan membantu mengatasi masalah peningkatan kadar klorida di Sungai Papar yang sering memaksa kedua-dua loji di Limbahau ditutup sementara semasa musim kemarau atau air pasang.

“Dengan adanya alternatif ini, loji-loji tersebut akan terus beroperasi menyalurkan air kepada penduduk walaupun muka sauk asal tidak dapat digunakan,” katanya.

Sehubungan itu, Armizan menegaskan pihaknya serius memastikan semua projek berkaitan berjalan lancar demi manfaat penduduk Papar.

Pada masa sama Armizan menyeru warga Papar supaya memastikan wakil rakyat GRS meneruskan khidmat mereka di Kawang dan Limbahau, termasuk Pantai Manis, selepas Pilihan Raya Negeri (PRN17) ini.