LSH Infra, Pertama Makmur dipilih sebagai pemaju Lebuhraya Bertingkat Bandar Malaysia-Seri Kembangan

LocalBusiness & Finance
28 Aug 2026 • 5:32 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

LSH Infra, Pertama Makmur dipilih sebagai pemaju Lebuhraya Bertingkat Bandar Malaysia-Seri Kembangan Image from: LSH Infra, Pertama Makmur dipilih sebagai pemaju Lebuhraya Bertingkat Bandar Malaysia-Seri Kembangan liza28/08/2026 - 17:32

KUALA LUMPUR 28 Ogos – LSH Infra Sdn Bhd dan Pertama Makmur Sdn Bhd dipilih sebagai pemaju bagi cadangan pembangunan Lebuhraya Bertingkat Bandar Malaysia-Seri Kembangan (BSE), sebuah projek infrastruktur strategik bagi meningkatkan kesalinghubungan dan mengurangkan kesesakan lalu lintas di Kuala Lumpur.

 

LSH Infra merupakan anak syarikat Lim Seong Hai Capital Bhd, sebuah syarikat pegangan pelaburan yang menjalankan perniagaan dalam bidang pembinaan dan perkhidmatan berkaitan pembinaan menerusi anak-anak syarikatnya.

 

Kumpulan itu turut terlibat dalam perniagaan bahan binaan, produk dan perkhidmatan pencahayaan, mekanikal dan elektrikal, penyewaan jentera, pembangunan hartanah serta pengurusan kemudahan.

 

Lim Seong Hai Capital diperbadankan di Malaysia pada 11 November 2020 dan disenaraikan di Pasaran LEAP Bursa Malaysia pada 30 Julai 2021 sebelum berpindah ke Pasaran ACE pada 21 Mac 2025.

 

Sementara itu, Pertama Makmur merupakan syarikat milik Bumiputera yang diperbadankan pada 1986 serta merupakan kontraktor G7 yang berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

 

Syarikat itu juga berdaftar sebagai kontraktor dengan Kementerian Kewangan, Tenaga Nasional Bhd, FGV Holdings Bhd dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd.

 

Lebih 50 Projek Telah Disiapkan

Setakat ini, Pertama Makmur telah menyiapkan lebih daripada 50 projek dengan nilai kontrak terkumpul melebihi RM1.4 bilion.

 

Antara projek utama yang telah disiapkan termasuk projek mitigasi banjir Sungai Kerayong di bawah program River of Life, pembinaan persimpangan bertingkat di persimpangan Jalan Pudu, Jalan Imbi dan Jalan Hang Tuah di Kuala Lumpur.

 

Syarikat itu turut melaksanakan kerja menaik taraf Jalan Semarak dari Jalan Tun Razak hingga ke Lebuhraya Duta-Ulu Kelang, pembinaan rangkaian saluran paip pembetungan di Melaka serta Pakej CB4 Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH).

 

Pada masa ini, Pertama Makmur mempunyai lima projek dalam tangan dengan nilai kontrak keseluruhan kira-kira RM500 juta.

 

Antara projek utama yang sedang dilaksanakan ialah Pakej 4C Jalan Utama Tengah, projek mitigasi banjir Sungai Pendang serta kerja pelebaran dan naik taraf Jalan Yew dan Jalan Sungai Besi di Kuala Lumpur.

 

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, Kabinet telah bersetuju secara prinsip terhadap cadangan pembangunan BSE, yang mencerminkan komitmen kerajaan Madani dalam menyediakan infrastruktur berimpak tinggi untuk rakyat.

 

“BSE dirancang sebagai laluan penghubung berkapasiti tinggi yang akan mengintegrasikan beberapa rangkaian lebuh raya utama bagi memperkukuh kesalinghubungan di Kuala Lumpur.

 

“Antara rangkaian yang terlibat ialah Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban, Lebuhraya Maju (MEX), Lebuhraya Sungai Besi, Lebuhraya Pantai Baharu (NPE), Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dan rangkaian Sistem Penyuraian Trafik Kuala Lumpur,” katanya.

 

Projek Masih Dalam Peringkat Penilaian

Nanta berkata, Kementerian Kerja Raya bersama agensi berkaitan, termasuk Unit Kerjasama Awam Swasta, akan meneruskan rundingan dan penilaian terperinci bagi memuktamadkan struktur pelaksanaan projek tersebut.

 

Beliau berkata, kerajaan akan memastikan setiap aspek projek dinilai secara menyeluruh sebelum sebarang keputusan muktamad mengenai pelaksanaannya dibuat.

 

Penilaian itu meliputi kepentingan awam, nilai untuk wang kepada negara dan kemampanan fiskal.

 

Menurut beliau, cadangan pembangunan BSE akan menggunakan pendekatan pembiayaan sektor swasta untuk memastikan pelaksanaannya tidak melibatkan komitmen kewangan secara langsung daripada kerajaan Persekutuan.

 

Kerajaan juga akan meneliti beberapa cadangan penyelesaian infrastruktur lain bagi melengkapkan rangkaian jalan raya sedia ada dan menangani masalah kesesakan lalu lintas di Lembah Klang.

 

Nanta berkata, kerajaan akan mempertimbangkan cadangan infrastruktur lain berdasarkan keperluan strategik, keupayaannya meningkatkan kapasiti serta kesannya terhadap kelancaran aliran trafik di Lembah Klang. – BERNAMA
 

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved