LTdL26: Aiman Rosli mahu sambar jersi Raja Bukit dan Asia

26 Sep 2026 • 4:32 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: LTdL26: Aiman Rosli mahu sambar jersi Raja Bukit dan Asia

SHAH ALAM – Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Muhammad Nur Aiman Rosli, bertekad memburu jersi Raja Bukit (KOM) atau Pelumba Terbaik Asia (jersi putih) seawal Peringkat 1 Le Tour de Langkawi 2026 (LTdL26) esok.

Pelumba berusia 27 tahun itu mengakui saingan pembukaan sejauh 193 kilometer (km) dari Persiaran Gerbang Utama Bukit Jelutong, Shah Alam ke Kampar dijangka sengit, namun peluang untuk menyambar jersi pada peringkat awal tetap terbuka.

“Untuk peringkat pembukaan esok, jika ada peluang melakukan breakaway, saya mahu cuba menyambar jersi KOM atau sekurang-kurangnya jersi Terbaik Asia.

“Dapat menyarung jersi pada hari pertama atau menaiki podium adalah sasaran yang sangat realistik. Jadi, saya mahu lakukan yang terbaik esok,” katanya ketika ditemui hari ini.

Mengulas perancangan keseluruhannya pada edisi kali ini, pelumba kelahiran Muar, Johor itu berkata dia akan menggunakan pendekatan lebih berhati-hati pada peringkat pendakian bagi memastikan tenaga dapat disimpan untuk penghujung perlumbaan.

Menurut Aiman, tumpuan utamanya adalah Peringkat 6, 7 dan 8 yang disifatkan lebih sesuai dengan karakter dirinya sebagai pelumba serba boleh (all-rounder).

“Saya akan simpan tenaga pada tiga hari peringkat bukit itu supaya tidak terkeluar daripada had masa perlumbaan.

“Fokus utama saya adalah Peringkat 6, 7 dan 8 untuk melakukan breakaway dan cuba bertahan sehingga garisan penamat,” katanya.

Peringkat 1 esok hanya menawarkan satu zon pendakian (KOM) di Meru, kategori empat, selain tiga zon pecutan pertengahan di Ijok (km 29.4), Kuala Selangor (km 48.2) dan Teluk Intan (km 149.8).

Pelumba dijangka menyusuri laluan Persiaran Mokhtar Dahari, Jalan Paip, Jalan Bukit Cerakah, Meru, Ijok, Kuala Selangor, Tanjung Karang, Sekinchan, Simpang Lima, Sungai Besar, Sabak Bernam, Bagan Datuk, Hutan Melintang, Teluk Intan, Air Kuning dan Mambang Di Awan sebelum menamatkan saingan di Kampar. -KOSMO! ONLINE

The post LTdL26: Aiman Rosli mahu sambar jersi Raja Bukit dan Asia appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved