
GENTING HIGHLANDS – Pelumba Perancis, Nicolas Breuillard berjaya bangkit untuk menakluki puncak Genting Highlands biarpun pada mulanya hilang keyakinan selepas berdepan masalah kesihatan seawal Peringkat 1 Le Tour de Langkawi 2026 (LTdL).
Pada aksi Peringkat 5 dari Tapah ke Genting Highlands itu, Breuillard berjaya membuktikan dia adalah pakar pendakian sebenar apabila menamatkan perlumbaan sejauh 125.7 kilometer (km) itu dengan catatan masa 3 jam 11 minit 26 saat (s).
Kejayaan menawan zon pendakian berstatus Queen Stage, berketinggian 1,629 meter dari aras laut itu menyaksikan pelumba pasukan TotalEnergies tersebut menewaskan pencabar terdekat dari Burgos-Burpellet-BH, Josh Burnett dengan kelebihan lapan saat di tempat kedua.
Pendahulu baharu klasifikasi keseluruhan (GC), Lennart Jasch (Tudor Pro Cycling Team) pula menamatkan saingan di kedudukan ketiga dengan jurang 21s di belakang Breuillard.
Menurut Breuillard, kemenangan bermakna ini hadir pada waktu yang tepat sebelum dia berhijrah menyertai pasukan berstatus WorldTeam, XDS Astana musim depan.
“Saya datang ke sini dengan misi memburu GC dan pasukan meletakkan kepercayaan tinggi terhadap saya, namun malangnya saya jatuh sakit pada hari pertama di Malaysia. Sejak itu keadaan menjadi agak rumit.
“Keyakinan saya sempat terjejas, tetapi rakan sepasukan percaya kepada kemampuan saya melebihi diri saya sendiri,” katanya ketika ditemui selepas perlumbaan.
Sementara itu, tempat ketiga yang diraih Jasch sudah memadai untuk membolehkannya merampas Jersi Jingga (GC) dengan catatan keseluruhan 18 jam 56 minit 33s (18:56:33s), mendahului Abel Balderstone Roumens (Caja
Rural-Seguros RGA) dengan kelebihan 26s dan rakan sepasukannya, Jan Castellon
(+58s).
Jasch turut cemerlang menyapu bersih Jersi Raja Bukit dengan mengumpul 35 mata, meninggalkan pelumba Wheeltop Rotor Chengdu Team, Petr Rikunov (29 mata) dan Breuillard (25 mata).
Bagi saingan Raja Pecut, pelumba XDS Astana Team, Matteo Malucelli terus gah menyarung Jersi Biru selepas mengumpul 32 mata, diekori Riley Pickrell dari Modern Adventure Pro Cycling (24 mata) dan Ronan Auge (Unibet Rose Rockets; 14 mata).
Kategori Pelumba Terbaik Asia (Jersi Putih) pula kekal milik wakil Jepun dari Aisan Racing Team, Yuhi Todome dengan masa terkumpul 19:05:54s, diikuti dua pelumba muda negara, Tsen Ren Bao (St George Continental) dan ketinggalan 3:44s dan adiknya, Tsen Ren Han (+5:25s).
Ren Han yang beraksi mewakili skuad kebangsaan turut mencuri tumpuan di puncak
Genting Highlands apabila muncul pelumba tempatan terbaik selepas melintasi garisan penamat di kedudukan ke-29 keseluruhan (+5:32s).
Saingan LTdL 2026 bersambung esok menerusi Peringkat 6 dari Pandan Indah ke Rembau sejauh 121.3 km yang menawarkan tiga zon pendakian Kategori 3 di Ampang, Bukit Hantu dan Bukit Mendum, serta tiga zon pecutan di Ulu Beranang, Rahang dan Rembau. -KOSMO! ONLINE
The post LTdL 26: Breuillard tawan Genting Highlands sebelum berhijrah ke Astana appeared first on Kosmo Online.






