LTdL 26 : Genting Highlands penentu perebutan jersi utama

1 Oct 2026 • 10:09 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: LTdL 26 : Genting Highlands penentu perebutan jersi utama

TAPAH – Perlumbaan Peringkat 5 Le Tour de Langkawi 2026 (LTdL26) bakal menyajikan perebutan cukup sengit apabila pertempuran dari Tapah ke Genting Highlands sejauh 125.7 kilometer (km), hari ini, menjadi medan penentu bagi perebutan Klasifikasi Keseluruhan (GC),  Raja Bukit, Pelumba Terbaik Asia serta gelaran Pasukan Terbaik Asia.

Laluan ke puncak Genting Highlands yang berketinggian 1,629 meter dari aras laut dan membabitkan pendakian Kategori Hors (HC) dijangka menguji keupayaan pelumba pendaki selain membuka peluang untuk merombak kedudukan keseluruhan.

Pendakian berstatus Queen Stage itu turut menawarkan 25 mata bagi klasifikasi Raja Bukit, sekali gus menjadikan Peringkat 5 antara laluan paling penting dalam perebutan jersi berkenaan.

Pelumba Wheeltop Rotor Chengdu Cycling Team, Petr Rikunov kini mengetuai klasifikasi Raja Bukit selepas merampas Jersi Polka Dot daripada Lennart Jasch pada Peringkat 4 di Cameron Highlands semalam.

Image from: LTdL 26 : Genting Highlands penentu perebutan jersi utama
BARISAN Peloton yang bersedia mencabar laluan di Genting Highlands.

Rikunov mengumpul 29 mata, manakala Javier Ibañez berada di tempat kedua dengan 20 mata dan Jasch di kedudukan ketiga dengan 19 mata.

Situasi itu menyaksikan persaingan Raja Bukit masih terbuka kerana pendakian Genting Highlands menawarkan jumlah mata yang besar dan berpotensi mengubah kedudukan klasifikasi berkenaan.

Dalam perebutan Jersi Putih Pelumba Terbaik Asia pula, pelumba Jepun, Yuhi Todome daripada Aisan Racing Team berada di kedudukan hadapan, dengan pencabar dari Terengganu Cycling Team (TSG), Kee Zhe Yie antara pelumba Asia yang turut memberikan tekanan.

Bagi klasifikasi Pasukan Terbaik Asia, Wheeltop Rotor Chengdu Team terus menguasai kedudukan, manakala Malaysia Pro Cycling (MPC) kini berada di tempat ketiga dan menyasarkan untuk memintas Nusantara Cycling Team dari Indonesia bagi merebut kedudukan kedua.

Pengurus MPC, Mohd Sayuti Zahit berkata, Peringkat 5 amat penting kerana peluang untuk melakukan perubahan besar dalam klasifikasi selepas ini dilihat semakin sukar berikutan baki perlumbaan lebih memihak kepada pelumba pecut.

“Peringkat ini adalah penentu kepada segala-galanya. Peluang untuk mengubah kedudukan GC selepas ini amat sukar kerana peringkat seterusnya lebih memihak kepada pelumba pecut.

“Sasaran realistik kita sekurang-kurangnya tempat kedua dengan memintas Nusantara. Jurang satu minit 32 saat itu tidak jauh, manakala defisit lebih empat minit di belakang Wheeltop memang agak sukar, namun dalam perlumbaan berbasikal tiada apa yang mustahil,” katanya.

Sayuti berkata, MPC akan bergantung kepada tiga pelumba pendaki utama untuk menghadapi pendakian mencabar berkenaan hari ini.

Menurutnya, ketiga-tiga pelumba berkenaan perlu berada dalam kedudukan terbaik sebelum memasuki pendakian akhir bagi memastikan peluang pasukan untuk memperbaiki kedudukan Asia kekal terbuka.

“Kita perlu mengawal perlumbaan dengan baik dan memastikan pelumba pendaki kita tidak terlepas terlalu jauh.

“Kita berharap mereka dapat berada dalam kelompok breakaway bersama pelumba Eropah yang dijangka bertindak agresif sejak awal perlumbaan.

“Tiga pelumba pendaki kita perlu menamatkan saingan di hadapan pencabar dengan jurang masa yang mencukupi dan bertahan sehingga ke garisan penamat di puncak,” katanya.

Selain perebutan klasifikasi, pendakian Genting Highlands juga bakal memberi gambaran lebih jelas mengenai kedudukan GC LTdL26 apabila pelumba yang mampu bertahan dengan kelompok hadapan dijangka memperoleh kelebihan besar menjelang baki peringkat perlumbaan. -KOSMO! ONLINE

The post LTdL 26 : Genting Highlands penentu perebutan jersi utama appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved