LTdL 26: Dua beradik curi tumpuan di Genting Highlands

1 Oct 2026 • 5:34 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: LTdL 26: Dua beradik curi tumpuan di Genting Highlands

GENTING HIGHLANDS – Dua beradik pelumba negara, Tsen Ren Bao dan Tsen Ren Han mencuri tumpuan di Genting Highlands hari ini apabila bersaing sesama sendiri sebelum Ren Han, 19, mengesahkan status sebagai pelumba Malaysia terpantas pada Peringkat 5 Le Tour de Langkawi 2026 (LTdL26).

Pada saingan berstatus Queen Stage dari Tapah sejauh 125.7 kilometer (km) itu, Ren Han yang menyarung jersi skuad kebangsaan menamatkan perlumbaan di tempat ke-29 keseluruhan dengan catatan 3 jam 16 minit 58 saat (s), sekali gus muncul pelumba ketiga terbaik Asia bagi peringkat berkenaan.

Meskipun sedikit terkilan apabila dipintas adiknya ketika pendakian ke puncak berketinggian 1,629 meter itu, Ren Bao yang mewakili pasukan St George Continental Cycling Team tetap bangga dengan prestasi ditampilkan Ren Han.

“Pada awalnya saya ingat saya berkayuh seorang diri, tetapi selepas itu saya nampak kelibat jersi skuad kebangsaan Malaysia di hadapan. Saya terkejut melihat kayuhan dia kerana dia baru berusia 19 tahun dan masih baharu dalam perlumbaan bertaraf tinggi seperti ini.

“Saya sangat gembira dan bangga dengan persembahannya hari ini. Ini membuktikan betapa berbakatnya dia pada usia semuda itu. Saya memang sangat berbangga dengannya,” kata Ren Bao.

Keputusan itu hadir selepas Ren Bao mencipta sensasi semalam apabila muncul pelumba Malaysia terbaik pada Peringkat 4 ke Cameron Highlands.

Kayuhan konsistennya hari ini turut membolehkan Ren Bao mengekalkan status pelumba Malaysia terbaik dalam Klasifikasi Keseluruhan (GC), apabila berada di kedudukan ke-25 dengan ketinggalan 11 minit 5 saat.

Malah, Ren Bao kini turut berada di tempat kedua dalam perebutan Jersi Putih selaku Pelumba Terbaik Asia, di belakang pelumba Jepun, Yuhi Todome dari Aisan Racing Team, manakala Ren Han mengekori di kedudukan ketiga Asia keseluruhan.

Image from: LTdL 26: Dua beradik curi tumpuan di Genting Highlands
REN Han ketika melakukan kayuhan menuju ke puncak penamat di Genting Highlands.

Bagi Ren Han pula, kejayaan menakluki cerun Genting Highlands disambut dengan rasa lega selepas mengharungi ujian fizikal dan mental yang cukup mencabar.

“Lega sangat semuanya sudah berakhir. Sekarang saya tidak sabar untuk mendapatkan rehat yang cukup,” katanya.

Mengulas persaingannya dengan Ren Bao, pelumba muda itu berkata dia tidak pernah berniat untuk mengatasi abangnya, sebaliknya mahu membantu Ren Bao mencatat keputusan terbaik dalam saingan keseluruhan.

“Bagi saya, ini bukan soal mengalahkan dia. Niat saya cuma mahu membantu dia mendapatkan catatan masa terbaik untuk kedudukan keseluruhan. Namun, sejujurnya pendakian Genting Highlands ini memang satu igauan ngeri,” katanya.

Esok Peringkat 6 akan bermula dari Pandan Indah ke Rembau dengan jarak 121.3km dengan menawarkan tiga zon pendakian CAT 3 Ampang, Bukit Hantu, Bukit Mendum, manakala tiga zon pecutan pula di Ulu Beranang, Rahang dan Rembau.

The post LTdL 26: Dua beradik curi tumpuan di Genting Highlands appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved