
KUALA KANGSAR – Pakar pecut XDS Astana Team, Matteo Malucelli menepati ramalan apabila menjuarai Peringkat 3 Le Tour de Langkawi 2026 (LTdL26) dari Sungai Petani ke Kuala Kangsar, sekali gus memperkukuh cengkamannya terhadap jersi Raja Pecut (Jersi Biru), hari ini.
Menggunakan kepantasan kayuhannya di penghujung laluan sejauh 189.7 kilometer (km), pelumba kelahiran Itali itu menguasai penamat beramai-ramai dengan catatan masa 4 jam 31 minit 59 saat (s).
Kemenangan bertenaga itu menyaksikan Malucelli mengetepikan saingan sengit Riley Pickrell (Modern Adventure Pro Cycling) di tempat kedua dan Sepp Van den Boer (Tudor Pro Cycling Team) di tempat ketiga yang berkongsi masa sama.
Kejayaan tersebut membolehkan Malucelli mengutip tambahan 15 mata klasifikasi dan bonus 10 saat, sekali gus meletakkannya selesa mendahului carta Jersi Biru dengan mengumpul 32 mata, meninggalkan Pickrell (24 mata) serta Ronan Auge (14 mata).

“Saya akan cuba memenangi sebanyak mungkin peringkat perlumbaan demi memastikan jersi Raja Pecut ini terus kekal milik saya dalam saingan LTdL26,” kata Malucelli sejurus tamat perlumbaan.
Saingan hari ini turut mencuri tumpuan menerusi kayuhan cemerlang pelumba negara daripada Malaysia Pro Cycling (MPC), Mohamad Izzat Hilmi Abdul Halil yang menamatkan saingan di kedudukan kelima dengan masa sama, sekali gus dinobatkan selaku Pelumba Terbaik Asia bagi peringkat berkenaan.
Sementara itu, jersi utama perlumbaan iaitu Jersi Jingga (Klasifikasi Keseluruhan) kekal disandang pelumba Tudor Pro Cycling Team, Lennart Jasch dengan catatan masa keseluruhan 12:16:03s, berkelebihan 20s di depan Abel Balderstone Roumens (Caja Rural-Seguros RGA).
Bagi perebutan Jersi Putih (Pelumba Terbaik Asia), Yuhi Todome daripada Aisan Racing Team memimpin kedudukan (12:21:03s), dicabar sengit pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Kee Zhe Yie selepas hanya dipisahkan 15 saat di tempat kedua serta pelumba Malaysia, Tsen Ren Bao (St George Continental Cycling) di tangga ketiga (+39s).
Jasch turut memegang Jersi Polka Dot (Raja Bukit) dengan 15 mata, hanya berkelebihan satu mata di depan pelumba TSG, Mohamad Nur Aiman Zariff (14 mata).
Tumpuan esok terarah kepada zon pendakian mencabar menerusi Peringkat 4 dari Bandar Meru Raya ke Tanah Rata, Cameron Highlands sejauh 142.3 km yang menawarkan tiga zon pecutan di Gopeng, Kampar dan Tapah sebelum pendakian berstatus Kategori Hors (HC). -KOSMO! ONLINE
The post LTdL 26: Malucelli tawan Kuala Kangsar, perkukuh jersi pecut appeared first on Kosmo Online.






