
MENGUASAI jersi pendahulu sejak Peringkat 2 di Gunung Jerai, pelumba Tudor Pro Cycling Team, Lennart Jasch melengkapkan perlumbaan Le Tour de Langkawi 2026 (LTdL26) dengan cemerlang apabila melakar kejuaraan berganda selepas muncul juara keseluruhan (GC) dan Raja Bukit.
Pelumba kelahiran Jerman itu memastikan kejayaan bersejarah berkenaan selepas perlumbaan berstatus ProSeries 2.Pro tersebut melabuhkan tirai menerusi Peringkat 8 dari Muar ke Putrajaya, semalam.
Dalam perlumbaan sejauh 188.3 kilometer (km) itu, Jasch melintasi garisan penamat bersama kelompok utama di kedudukan ke-24 dengan catatan 4 jam 5 minit 17 saat.
Keputusan itu membolehkan Jasch mengesahkan kejuaraan keseluruhan dengan catatan masa terkumpul 28 jam 57 minit 02 saat, sekali gus mengekalkan kelebihan 26 saat ke atas pencabar terdekat, Abel Balderstone Roumens, manakala Jan Castellon Ribalt, kedua-duanya dari Caja Rural-Seguros RGA, menduduki tempat ketiga dengan perbezaan 42 saat.
Lebih manis, Jasch turut menamatkan edisi ke-30 LTdL sebagai Raja Bukit selepas mengumpul 45 mata, mengatasi pencabar terdekatnya dari Wheeltop Rotor Chengdu Team, Petr Rikunov yang mengutip 41 mata.
Mengulas kejayaan itu, Jasch mengakui perlumbaan pada hari terakhir tetap mencabar dari segi fizikal walaupun laluan lebih landai berbanding peringkat terdahulu.
“Hari ini sekali lagi menjadi hari yang sangat sukar buat saya, terutama pada baki tujuh hingga lapan kilometer terakhir. Kami datang ke sini dengan sasaran yang tinggi, tetapi memenangi jersi keseluruhan ini adalah sesuatu yang sukar untuk kami percayai pada awalnya.
“Kemenangan di Peringkat 2 membuktikan saya berada pada tahap terbaik dan mampu mempertahankan jersi ini sehingga ke penghujung perlumbaan. Ini adalah kemenangan GC profesional pertama dalam karier saya.
“Kejayaan ini sudah pasti akan terpahat dalam ingatan sepanjang hayat saya,” katanya sambil mendedikasikan kejayaan itu kepada seluruh rakan sepasukan dan pengurusan Tudor Pro Cycling Team.
The post LTdL26: Jasch ‘kunci’ kejuaraan berganda appeared first on Kosmo Online.






