Lynas jalin kerjasama dengan Kelantan bangunkan rantaian bekalan nadir bumi

LocalBusiness & Finance
30 May 2025 • 11:51 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Lynas jalin kerjasama dengan Kelantan bangunkan rantaian bekalan nadir bumi

image is not available

30/05/2025 - 11:51

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 30 Mei - Lynas Rare Earths Ltd memeterai perjanjian dengan kerajaan negeri Kelantan bagi pembekalan karbonat nadir bumi bercampur (MREC).

Katanya, memorandum persefahaman (MoU) bersama Menteri Besar Inc, cabang pelaburan Kerajaan Kelantan, adalah tertakluk kepada rundingan perjanjian muktamad.

Menerusi perjanjian itu, Lynas dan Menteri Besar Inc akan bersama mengukuhkan, mempromosi dan membangunkan kerjasama bagi pertumbuhan industri nadir bumi Malaysia di Kelantan.

Ia juga menyediakan kerangka untuk Menteri Besar Inc dan Lynas merundingkan perjanjian muktamad berkenaan pembekalan bahan mentah MREC kepada loji bahan termaju Lynas Malaysia di Kuantan apabila projek tersebut memulakan pengeluaran.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Lynas Rare Earths, Amanda Lacaze, berkata, ia merupakan langkah penting bagi Lynas dan industri nadir bumi Malaysia, yang menggabungkan lebih sedekad kepakaran industri Lynas Malaysia dengan sumber nadir bumi di negeri Kelantan.

Beliau berkata, melalui Lynas, Malaysia kini diiktiraf sebagai pusat kecemerlangan dalam bidang nadir bumi.

"MoU itu akan menyaksikan kerjasama antara kami dan Menteri Besar Inc dalam membangunkan produk nadir bumi yang diperoleh dan diasingkan di Malaysia.

"Deposit tanah liat ionik di Malaysia mempunyai potensi yang sangat baik sebagai bahan mentah masa depan untuk Lynas Malaysia, terutamanya memandangkan kandungan tinggi unsur nadir bumi berat yang amat diperlukan dalam teknologi masa depan seperti kenderaan elektrik dan elektronik.

"Kami berharap dapat bekerjasama dengan MB Inc bagi memastikan MREC yang dihasilkannya memenuhi piawaian alam sekitar dan teknikal yang tinggi seperti yang diperlukan Lynas dan pelanggan kami dalam rantaian bekalan pembuatan di Malaysia dan di peringkat global," katanya dalam satu kenyataan. - DagangNews.com

standard