M-REIT kembali menarik selepas pembetulan harga unit, HLIB naik taraf sektor kepada 'overweight'

Business & FinanceProperty
24 Sep 2026 • 12:18 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

M-REIT kembali menarik selepas pembetulan harga unit, HLIB naik taraf sektor kepada 'overweight' Image from: M-REIT kembali menarik selepas pembetulan harga unit, HLIB naik taraf sektor kepada 'overweight' hamden24/09/2026 - 12:18 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 24 Sept - Penganalisis pasaran melihat sentimen pelabur terhadap amanah pelaburan hartanah Malaysia (M-REIT) semakin positif apabila penilaian sektor itu dilihat kembali menarik selepas pembetulan harga unit baru-baru ini.

 

Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research menaik taraf sektor M-REIT daripada “neutral” kepada “overweight” susulan jualan besar-besaran yang menyaksikan Indeks REIT Bursa Malaysia merosot 5.6% daripada paras kemuncaknya pada separuh kedua tahun kewangan 2026 (2H26).

 

Menurut HLIB, pembetulan itu menawarkan ruang kemasukan yang menarik kepada pelabur yang mencari hasil, dengan pemangkin utama ialah pelebaran spread hasil dividen M-REIT berbanding Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) 10 tahun.

 

Apabila hasil MGS 10 tahun meningkat menghampiri julat 3.96% hingga 4%, didorong keputusan kadar faedah Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) serta jangkaan kadar domestik, harga unit REIT mengalami penyusutan penilaian bagi menyesuaikan diri dengan persekitaran kadar bebas risiko yang lebih tinggi.

 

Susulan itu, spread hasil dividen REIT berbanding MGS 10 tahun melebar ketara kepada 231 mata asas (bps), berbanding hanya 77 bps pada 2022.

 

Sementara itu, CGS International (CGSI) berkata dengan sebahagian besar penyusutan penilaian yang didorong kadar faedah telah berlaku, REIT berpotensi mengalami penilaian semula susulan pemangkin dasar menerusi Belanjawan 2027.

 

“Persatuan Pengurus REIT Malaysia sedang melobi supaya cukai pegangan (WHT) keutamaan sebanyak 10% yang tamat pada Mac 2026 dikembalikan semula, selain meningkatkan had gearan daripada 50% kepada 60% daripada jumlah nilai aset.

 

“Pemulihan WHT akan menghapuskan tekanan kira-kira 50 hingga 100 mata asas terhadap hasil selepas cukai, manakala had gearan yang lebih tinggi akan meningkatkan potensi pengambilalihan, pada pandangan kami,” katanya dalam laporan sektor REIT terbaharu.

 

CGSI turut menjangkakan Belanjawan 2027 memberi tumpuan kepada peningkatan pendapatan isi rumah dan kuasa beli menerusi bantuan tunai bersasar serta sokongan fiskal lain.

 

Katanya, langkah itu seharusnya menyokong penggunaan domestik dan memberi manfaat kepada REIT berorientasikan runcit melalui peningkatan jualan penyewa serta pertumbuhan sewaan.

 

Bagaimanapun, CGSI mengekalkan saranan “neutral” terhadap sektor REIT berikutan ketidaktentuan makroekonomi yang masih berlarutan, termasuk ketegangan geopolitik di Timur Tengah dan ketidakstabilan dasar domestik yang boleh mengehadkan kenaikan harga saham dalam tempoh terdekat.

 

Sebaliknya, HLIB menjangkakan REIT mencatat prestasi pendapatan yang mampan pada 2H26 merentasi subsektor runcit, hotel dan perindustrian.

 

Pilihan utama HLIB Research ialah Axis-REIT dengan harga sasaran (TP) RM2.27, Pavilion-REIT (TP: RM1.94) dan IGB Commercial-REIT (TP: 73 sen).

 

Bagi CGSI pula, pilihan utama M-REIT ialah Axis-REIT dengan TP RM2.15 berikutan pertumbuhan sektor perindustriannya serta Capitaland Malaysia Trust dengan TP 79 sen, berdasarkan hasil FY27 sekitar 8.7%.

 

Firma penyelidikan itu turut menaik taraf Sunway-REIT kepada “Tambah” dengan TP RM2.45 selepas pembetulan penilaian sebanyak 18%. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved