
KUALA LUMPUR, 2 September 2026 — Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) mencadangkan agar Kementerian Komunikasi bersama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), suruhanjaya komunikasi dan multimedia malaysia (MCMC), Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), wakil platform OTT serta persatuan industri berkenaan mengadakan sesi libat urus industri kandungan digital dan OTT sebagai langkah mengatasi isu kandungan sensitif di platform berkenaan.
Presidennya, Datuk Jurey Latiff dalam kenyataan berkata tujuannya bukan untuk menyekat kreativiti, tetapi mencari titik keseimbangan antara kebebasan berkarya, kepentingan komersial, perkembangan industri dan tanggungjawab terhadap masyarakat.
“Isu harus dilihat sebagai peluang untuk kerajaan, pemain industri kreatif dan pengendali platform OTT duduk semeja bagi membentuk sebuah ekosistem kandungan yang lebih bertanggungjawab, progresif dan jelas dari sudut garis panduan.
“kebebasan berkarya perlu datang bersama tanggungjawab dibina melalui kefahaman bersama, garis panduan yang jelas serta komunikasi berterusan antara kerajaan, agensi pengawal selia, platform dan penggiat industri.
“Kita tidak seharusnya hanya duduk semeja apabila sesuatu karya telah menjadi kontroversi. Dialog antara kerajaan dan industri perlu dilakukan secara berterusan sebelum sesuatu isu berlaku, supaya penggiat memahami batas sensitiviti negara manakala kerajaan pula memahami realiti, perkembangan dan cabaran dunia kandungan yang semakin kompleks,” katanya.
Babak percintaan kaum sejenis dalam drama bersiri Madu Atau Racun baru-baru ini yang menjentik kemarahan masyarakat negara ini turut menarik perhatian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hassan yang kesal dengan isu yang menyentuh sensitiviti dan budaya masyarakat tempatan.
Mengulas lanjut, Jurey berkata sesi libat urus berkenaan juga perlu mengelakkan pelbagai pihak menuding jari sesama sendiri apabila berlaku isu-isu seumpama itu.
“Ini untuk menghindari setiap kali berlaku kontroversi, kerajaan menyalahkan industri, industri menyalahkan platform dan platform pula mempunyai tafsiran tersendiri terhadap garis panduan.
“Industri kandungan Malaysia memerlukan satu ekosistem yang dibina atas kerjasama dan kepercayaan, bukan sekadar tindakan selepas sesuatu isu menjadi panas,” ujarnya.
Dalam masa yang sama, Jurey memaklumkan PTVM bersedia memainkan peranan sebagai jambatan antara kerajaan, syarikat penerbitan, pengkarya dan platform bagi membantu membentuk kerangka industri kandungan Malaysia yang lebih bertanggungjawab serta mampu berkembang dalam pasaran digital dan antarabangsa.
“Kita mahu industri kreatif Malaysia terus berkembang dan berani berkarya, tetapi dalam masa yang sama memahami tanggungjawabnya kepada masyarakat dan negara.
“Isu Madu atau Racun sewajarnya menjadi titik permulaan kepada kerjasama yang lebih erat antara kerajaan dan industri, bukan sekadar satu lagi kontroversi yang akan dilupakan apabila polemik reda,” kongsinya. – UTUSAN
The post Madu Atau Racun: kerajaan, pemain industri kreatif dan pengendali platform OTT perlu duduk semeja appeared first on Utusan Malaysia.





