MAG meterai perjanjian ambil alih Sepang Aircraft Engineering daripada Airbus

LocalBusiness & Finance
1 Oct 2026 • 12:38 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

MAG meterai perjanjian ambil alih Sepang Aircraft Engineering daripada Airbus Image from: MAG meterai perjanjian ambil alih Sepang Aircraft Engineering daripada Airbus hamden01/10/2026 - 12:38 Gambar/ www.sepangaircraft.com Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 1 Okt - Malaysia Aviation Group (MAG) menandatangani Perjanjian Jual Beli (SPA) dengan Airbus bagi mengambil alih Sepang Aircraft Engineering (SAE), anak syarikat milik penuh Airbus Group, sebagai langkah strategik memperkukuh keupayaan kejuruteraan dan penyelenggaraan (MRO) kumpulan itu.

 

MAG berkata cadangan pengambilalihan tersebut merupakan pencapaian strategik di bawah Pelan Perniagaan Jangka Panjang 3.0 (LTBP 3.0), selain menyokong usaha memperluas portfolio perkhidmatan penerbangan bersepadu dan mempercepatkan pertumbuhan hasil daripada pelanggan pihak ketiga.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAG, Kapten Nasaruddin A. Bakar berkata, pengambilalihan itu mencerminkan pendekatan kumpulan untuk melaksanakan pelaburan berdisiplin dalam bidang yang mempunyai laluan jelas ke arah penciptaan nilai mampan.

 

Menurut beliau, MAG memberi keutamaan kepada peluang yang dapat memperkukuh perniagaan teras, mempelbagaikan hasil serta menyokong aspirasi pertumbuhan jangka panjang kumpulan.

 

“Cadangan pengambilalihan ini dibina atas asas kejuruteraan dan penyelenggaraan yang telah kukuh, sekali gus meletakkan MAG pada kedudukan untuk memanfaatkan peluang dalam pasaran MRO yang semakin berkembang serta memenuhi permintaan pelanggan pihak ketiga yang semakin meningkat,” katanya.

 

Beliau berkata SAE melengkapi keupayaan sedia ada MAB Engineering menerusi kepakaran dalam pesawat A320, hangar pengecatan khusus serta perkhidmatan pembaikan komponen khusus.

 

Pada masa sama, SAE turut membawa asas teknikal, operasi dan kualiti yang kukuh yang dibangunkan di bawah pengurusan Airbus.

 

“Gabungan kekuatan ini akan membolehkan MAG menawarkan rangkaian penyelesaian MRO yang lebih luas serta memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan pihak ketiga sedia ada dan baharu di seluruh ASEAN serta pasaran di luar rantau ini,” katanya.

 

Nasaruddin berkata MAG turut memanfaatkan kelebihan kos kepada kemahiran yang kompetitif di Malaysia serta kepakaran kejuruteraan sedia ada bagi menyokong aspirasi negara menjadi hab aeroangkasa serantau yang terkemuka.

 

Langkah itu, katanya, akan membantu memperkukuh kedudukan Malaysia dan memacu pertumbuhan berterusan ekosistem penerbangan negara.

 

Bagaimanapun, urus niaga tersebut masih tertakluk kepada pemenuhan syarat-syarat terdahulu yang lazim, termasuk kelulusan daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

 

MAG akan terus bekerjasama dengan SAE, CAAM dan pihak berkepentingan berkaitan bagi mendapatkan kelulusan yang diperlukan serta memastikan urus niaga itu dapat disempurnakan dengan lancar. Urus niaga tersebut disasarkan selesai pada 2027. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved