
KUALA LUMPUR: Nasib Datuk Azizulhasni Awang untuk kembali ke program Road to Gold (RTG) bakal ditentukan menerusi proses ‘bedah siasat’ prestasi selepas Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, dengan keseluruhan senarai atlet akan dinilai semula menjelang tahun penting kempen kelayakan Sukan Olimpik Los Angeles (LA) 2028.
Penyelaras Projek RTG, Datuk Stuart Ramalingam berkata, mesyuarat selepas Sukan Asia bukan sekadar membincangkan kemasukan semula jaguh berbasikal trek itu, sebaliknya menjadi medan menilai pencapaian serta prestasi semua atlet sepanjang musim ini.
“Memang sudah di penghujung kitaran, jadi mesyuarat seterusnya akan menjadi seperti bedah siasat terhadap prestasi sepanjang tahun, pencapaian atlet dan juga perancangan untuk tahun hadapan.
“Tahun hadapan amat penting kerana ia adalah tahun kelayakan Olimpik untuk banyak sukan,” katanya.
Stuart berkata, proses penilaian itu turut membuka kemungkinan berlaku perubahan dalam senarai RTG apabila kedudukan setiap atlet akan diteliti berdasarkan pencapaian serta kriteria yang telah ditetapkan.
Menurutnya, keputusan berhubung kemasukan atau pengeluaran atlet perlu melalui proses yang sama dan tidak boleh dibuat hanya berdasarkan seorang individu.
“Kita tidak duduk hanya untuk berbincang seorang kerana kita adalah satu kumpulan, satu struktur dan satu program yang perlu mengikut prosesnya.
“Ada kertas kerja dan proses yang perlu dilalui sebelum keputusan kemasukan atau pengeluaran dibuat,” katanya.
Azizulhasni yang diberi julukan The Pocket Rocketman itu sebelum ini menjadi tumpuan selepas menamatkan penantian 16 tahun untuk meraih emas keirin Sukan Komanwel Glasgow 2026, sekali gus menghidupkan semula harapan untuk meneruskan karier sehingga LA 2028.
Terdahulu, Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh Gill turut menggesa supaya Azizulhasni diserap semula ke RTG bagi memastikan jaguh negara itu mendapat sokongan penuh sepanjang kempen kelayakan Olimpik.
Bagaimanapun, Stuart menegaskan Azizulhasni perlu dinilai berdasarkan kriteria RTG seperti atlet lain sebelum sebarang keputusan dibuat selepas Sukan Asia.
“Saya sangat terbuka untuk melihat Datuk Azizulhasni diterima semula jika beliau mencapai kriteria yang ditetapkan.
“Secara peribadi, saya berharap beliau diterima semula dalam RTG mengikut kriteria yang telah ditetapkan,” katanya.
Sukan Asia Aichi-Nagoya dijadual berlangsung bermula 23 September sehingga 4 Oktober, sebelum kempen kelayakan Olimpik LA 2028 bermula dengan Kejohanan Dunia di Shanghai dari 14 hingga 18 Oktober ini.-UTUSAN
The post Status Azizulhasni, tunggu ‘bedah siasat’ RTG appeared first on Utusan Malaysia.





