johardy13/08/2026 - 09:11 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 13 Ogos - Sektor pembinaan Malaysia dijangka menyaksikan aliran kontrak lebih kukuh pada separuh kedua 2026, disokong pelaburan pusat data yang mencatat rekod serta potensi penganugerahan projek infrastruktur awam bernilai antara RM12 bilion hingga RM14 bilion.
MBSB Research yang mengekalkan pandangan `Positif' terhadap sektor itu berkata, pertumbuhan pembinaan kekal sihat pada 6.6% tahun ke tahun pada suku kedua 2026, berbanding 7.7% pada suku sebelumnya.
Nilai kontrak pembinaan pusat data yang dianugerahkan mencecah rekod RM9.72 bilion dalam tempoh lapan bulan pertama 2026, sekali gus mengatasi RM9.26 bilion bagi keseluruhan 2025 dan RM6.90 bilion pada 2024.
Sunway Construction Group Bhd (SunCon) merangkumi 47% daripada kontrak pusat data yang dianugerahkan setakat tahun ini, diikuti Gamuda Bhd sebanyak 35% dan IJM Corp Bhd 7%.
Purata saiz kontrak turut meningkat kepada RM972 juta daripada RM892 juta pada 2025, mencerminkan skala pembangunan pusat data hiperskala yang semakin besar.
MBSB Research menjangkakan aliran kontrak pusat data meningkat lagi pada separuh kedua tahun ini, dengan sehingga enam kemudahan berskala besar bernilai antara RM1 bilion hingga RM2 bilion setiap satu berpotensi dimuktamadkan.
Projek infrastruktur awam RM12 bilion hingga RM14 bilion
MBSB Research melihat potensi penganugerahan projek infrastruktur awam bernilai RM12 bilion hingga RM14 bilion pada separuh kedua 2026, diterajui projek rel dan bekalan air utama.
Antara projek dalam perancangan ialah pakej CMC2 LRT Laluan Mutiara Pulau Pinang dengan anggaran nilai projek RM4 bilion hingga RM5 bilion yang disasarkan untuk dianugerahkan pada November 2026.
Projek lain termasuk Langat 2 Fasa 2 bernilai RM3 bilion hingga RM4 bilion, Sungai Rasau Fasa 2 antara RM2 bilion hingga RM3 bilion serta projek kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) Air Kerian bernilai RM4 bilion hingga RM5 bilion.
Projek Air Kerian semakin hampir untuk dilaksanakan susulan pemeteraian Perjanjian Bekalan Air Pukal selama 40 tahun pada Julai, dengan Gamuda dikenal pasti sebagai penerima manfaat secara langsung.
Prospek itu turut disokong Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang memperuntukkan perbelanjaan pembangunan RM430 bilion bagi tempoh 2026 hingga 2030, bersamaan purata RM86 bilion setahun.
Menurut MBSB Research, perkembangan pentadbiran juga berpotensi mempercepat pelaksanaan projek yang telah diluluskan menjelang 2027, termasuk Lebuhraya Pan Borneo Fasa 2 dengan anggaran kos pembinaan RM15 bilion dan Jalan Penghubung Sabah-Sarawak (SSLR) Fasa 2 bernilai RM7.4 bilion, manakala MRT3 bernilai RM31 bilion kekal sebagai pemangkin utama sektor rel bagi tempoh sederhana.
Sabah, Sarawak kekal jadi tumpuan
Malaysia Timur dijangka kekal menjadi tumpuan pembangunan infrastruktur dengan RM93.9 bilion sudah diperuntukkan kepada enam negeri kurang membangun di bawah RMK13 bagi projek jalan raya, bekalan air, elektrik dan kesalinghubungan.
Kira-kira 70% daripada 2,800 kilometer jalan luar bandar baharu yang dirancang juga akan tertumpu di negeri berkenaan.
MBSB Research memilih Gamuda, SunCon dan Malayan Cement Bhd sebagai pilihan utama sektor dengan saranan `Beli' dan harga sasaran masing-masing RM5.60, RM9.18 dan RM10.
Gamuda mempunyai baki buku pesanan pembinaan bernilai RM54 bilion yang memberikan keterlihatan pendapatan antara tiga hingga lima tahun, manakala pendapatan pembinaannya dijangka meningkat apabila lebih banyak projek memasuki fasa kemuncak pelaksanaan.
SunCon pula mempunyai baki buku pesanan pada paras rekod RM10.4 bilion yang memberikan keterlihatan pendapatan sehingga 2029. Buku tendernya berjumlah RM13.5 bilion dengan kira-kira 90% berkaitan peluang pusat data.
Pengeluar bahan binaan turut berpotensi mendapat manfaat daripada aktiviti pembinaan yang kukuh. Purata harga simen pukal Malaysia berada pada RM410 satu tan pada Julai, tidak berubah sejak Disember 2025 tetapi meningkat 7.9% tahun ke tahun, disokong permintaan daripada pusat data, pembangunan perindustrian dan projek infrastruktur.
MBSB Research menjangkakan Belanjawan 2027 akan memulakan gelombang seterusnya penambahan projek di bawah RMK13, termasuk kemungkinan pembiayaan jalan luar bandar baharu di Sabah dan Sarawak. - DagangNews.com






