liza15/10/2026 - 14:59 Ilustrasi Sunway Velocity 3 apabila siap kelak - Gambar Sunway Property Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 15 Okt – Sunway Property, cabang hartanah Sunway Bhd mula menawarkan blok menara terakhir projek kediaman Sunway Velocity 3 di Kuala Lumpur, susulan sambutan menggalakkan terhadap dua blok menara terdahulu yang mencatat kadar pengambilan 98% dalam tempoh dua tahun.
Blok menara ketiga iaitu Tower C, diperkenalkan menerusi pelancaran awal secara maya pada 10 Oktober lalu yang melengkapkan pembangunan kediaman berkenaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Sunway Property, Chong Sau Min berkata sambutan terhadap Tower C sebanyak 100 unit secara dalam talian mengukuhkan keyakinan syarikat bahawa pembeli mahukan kediaman yang dirancang dengan teliti serta mempunyai akses mudah kepada kemudahan harian.
Menurutnya, penggunaan platform digital turut memperluas pendekatan itu kepada proses pembelian dengan memberikan fleksibiliti kepada bakal pembeli untuk meninjau pembangunan di galeri jualan sebelum membuat tempahan mengikut kesesuaian masa masing-masing.
“Pendekatan itu membolehkan proses tempahan dilakukan secara dalam talian selepas lawatan fizikal, tanpa mengubah peranan galeri jualan sebagai tempat pembeli mendapatkan maklumat mengenai pembangunan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Tower C tawar unit kediaman sehingga empat bilik tidur
Tower C menyediakan unit berkeluasan antara 775 hingga 1,324 kaki persegi, termasuk pilihan susun atur empat bilik tidur.
Sebelum ini, dua menara terdahulu, Tower A dan Tower B menyediakan 1,600 unit secara keseluruhan, dengan Tower A sudah mencapai peringkat untuk menyiapkan struktur tertinggi (topping-out).
Sunway Velocity 3 terletak kira-kira lima kilometer dari pusat bandar Kuala Lumpur serta mempunyai sambungan terus ke pusat beli-belah Sunway Velocity Mall.
Projek itu juga berada kira-kira 500 meter dari stesen pertukaran MRT dan LRT Maluri, yang menyediakan akses kepada rangkaian pengangkutan awam di kawasan berkenaan. - DagangNews.com





