
SERDANG: Program muzikal Rhythm of the Farmers (ROTF) terus menghangatkan penganjuran Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 dengan menampilkan penyanyi dan artis berkumpulan ternama tanahair.
Bertemakan Rock Anthem: Legacy, persembahan awal yang bermula sekitar pukul 8.30 malam tadi itu disajikan dengan persembahan artis berkumpulan tempatan, Hafiz & The Gang.
Pentas ROTF dirancakkan dengan persembahan bertenaga daripada band Khalifah Hulubalang.
Kumpulan rock tanah air itu membawakan lima buah lagu iaitu Khalifah, Kasihnya Laila, Assalamualaikum Ustazah, Hang Pi Mana dan Tanggal 31.
Persembahan bertenaga itu ternyata menghiburkan sekitar 2,000 pengunjung yang hadir menyaksikan di tapak Perkampungan Bang Mat di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS).
Pentas persembahan ROTF seterusnya dihangatkan lagi dengan alunan suara serak basah daripada penyanyi tersohor negara, Azlan And The Typewriter.
Azlan menyampaikan tiga buah lagu iaitu Jangan Khianati Aku, Lagu Untukmu serta Semalam Yang Hangat (Wings).
Tidak terhenti di situ, Ratu Rock negara, Ella terus menghangatkan lagi kemeriahan ROTF dengan persembahan memukau menerusi tiga buah lagu iaitu Layar Impian, Sembilu serta Standing In The Eyes Of The World.
Malah Ella juga bersetuju menunaikan permintaan pengunjung untuk menyampaikan sebuah lagu lagi bagi menghiburkan peminat setia.
Hadir sama menyaksikan persembahan tersebut adalah Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.-UTUSAN
The post MAHA 2026: Musical Rhythm of the Farmers meriahkan ribuan pengunjung appeared first on Utusan Malaysia.






