MAHA Go Global buka laluan produk agro Selangor tembusi pasaran dunia

LocalBusiness & Finance
17 Aug 2026 • 11:01 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

MAHA Go Global buka laluan produk agro Selangor tembusi pasaran dunia

SHAH ALAM, 17 OGOS: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) buat julung kalinya dijemput menyertai MAHA Go Global sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 dari 28 Ogos hingga 6 September ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS Datuk Wira Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata penyertaan itu membuka peluang lebih luas kepada produk agro Selangor menembusi pasaran antarabangsa menerusi sesi padanan perniagaan (B2B) secara langsung bersama pemain industri dan wakil perdagangan negara lain.

Katanya, peluang berkenaan turut membolehkan PKPS memperkukuh jaringan perniagaan dengan pengedar, pemborong dan rangkaian pasar raya utama, selain meneroka potensi pasaran eksport.

“Buat pertama kali, PKPS dijemput menyertai MAHA Go Global di Dewan A untuk sesi B2B secara terus bersama pemain industri negara lain.

“Ini memberi ruang kepada kita memperkenalkan produk agro Selangor kepada pasaran lebih luas, di samping membuka peluang kerjasama strategik pengedaran dan pemasaran secara pukal,” katanya kepada Media Selangor.

Image from: MAHA Go Global buka laluan produk agro Selangor tembusi pasaran dunia
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) Datuk Wira Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi berucap dalam program Karnival 100 Jualan Ehsan Rahmah DUN Sungai Tua di Padang Awam Batu Caves, Gombak pada 1 September 2025. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Menurutnya, selain mengetengahkan produk agro Selangor, penyertaan PKPS turut membawa inisiatif strategik berkaitan keterjaminan makanan negeri termasuk Gudang Makanan Selangor dan Jualan Ehsan Rahmah.

“MAHA juga menjadi platform untuk kita memperkenalkan jenama Ehsan, aneka buah-buahan tempatan serta produk daripada makmal PKPS menerusi Agriculture of Excellence seperti stevia.

“Pengunjung turut berpeluang melihat replika anjung Rumah Kampung Selangor Fruit Valley serta plot tanaman bawang rose yang diusahakan di Selangor,” katanya.

Katanya, kehadiran jutaan pengunjung domestik dan antarabangsa menjadikan MAHA platform strategik untuk meningkatkan keterlihatan serta kesedaran terhadap produk agro Selangor secara terus kepada pengguna.

Dalam masa sama, kehadiran pembeli, pemain industri dan wakil perdagangan antarabangsa membuka peluang eksport lebih luas bagi membawa produk asas tani Selangor ke pasaran global.

“Secara keseluruhannya, penyertaan dalam MAHA bukan sahaja memberi peluang untuk mempromoasikan produk, malah menjadi pemangkin kepada usaha PKPS memperluas pasaran produk agro Selangor, membina jaringan strategik dan sekali gus menyokong agenda keterjaminan makanan negara,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved