
PETALING JAYA: Keputusan menghentikan serta-merta semua prosiding tatatertib di universiti tidak bermakna mahasiswa boleh mengeksploitasi kebebasan bersuara sehingga melanggar undang-undang dan mengganggu ketenteraman awam.
Presiden Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK), Muhammad Irfan Firdaus Md. Fauzi berkata, sebaliknya mahasiswa perlu menggunakan peluang itu untuk bersuara secara profesional dan lebih beradab.
Katanya, kebebasan bersuara yang diberikan perlu disertai tanggungjawab dan kematangan mahasiswa dalam menyampaikan pandangan, selain menghormati undang-undang serta hak pihak lain.
“Memberikan kebebasan untuk bersuara itu saya kira ia adalah satu perkara yang baik. Cuma saya mengharapkan mahasiswa bersuara itu disampaikan dengan lebih beradab, tidak dengan caci maki dan menyebabkan kerosakan ataupun gangguan kepada orang awam dan sebagainya.
“Ambil contoh aktivis di negara lain sehingga membuat orang awam takut, mereka berkumpul beramai-ramai dan menunggang motosikal dan sebagainya hingga membahayakan keselamatan. Kita kena lebih beradab,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Semalam, Kementerian Pendidikan Tinggi mengarahkan semua prosiding tatatertib berkaitan kebebasan bersuara, penyataan pandangan, kritikan awam dan perhimpunan aman di universiti awam dihentikan serta-merta.
Menurut kementerian itu, langkah berkenaan selaras dengan penegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) dalam Forum Ilmuwan Malaysia Madani (FIM) Siri 13 sebelum ini.
Dalam pada itu, Muhammad Irfan berkata, MPPK perlu dilibatkan dalam pembentukan Akta Pendidikan Tinggi Tunggal (OHEA) susulan keputusan kerajaan untuk memansuhkan AUKU.
Beliau berkata, MPPK merupakan badan tertinggi pelajar mahasiswa dan telah diberi mandat melalui saluran demokrasi yang sah.
“Kenapa MPPK perlu dilibatkan? Kerana wakil kami sahaja seramai 35 orang, ini sudah lengkap untuk menjadi salah satu jawatankuasa dalam rang undang-undang (RUU) OHEA. Kami terdiri daripada pelbagai universiti awam, politeknik dan kolej komuniti.
“Sebab itulah betapa pentingnya wakil kepimpinan pelajar tertinggi ini menjadi sebahagian dalam pembentukan akta baharu itu,” katanya.
Tambahnya, OHEA juga perlu merangkumi perkara berkaitan aktiviti pelajar serta persatuan-persatuan yang ditubuhkan. – UTUSAN
The post Mahasiswa diingat jangan eksploitasi kebebasan bersuara appeared first on Utusan Malaysia.






