MAHB catat 8.4 juta penumpang bagi Ogos 2026, trafik tertinggi dalam tempoh lima bulan

LocalBusiness & Finance
28 Sep 2026 • 11:10 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

MAHB catat 8.4 juta penumpang bagi Ogos 2026, trafik tertinggi dalam tempoh lima bulan Image from: MAHB catat 8.4 juta penumpang bagi Ogos 2026, trafik tertinggi dalam tempoh lima bulan amree28/09/2026 - 11:10 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 28 Sept — Trafik penumpang di rangkaian lapangan terbang tempatan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) terus kukuh dengan jumlah penumpang meningkat untuk bulan kedua berturut-turut kepada 8.4 juta pada Ogos 2026, paras tertinggi sejak Mac lalu.

 

Peningkatan itu menunjukkan pemulihan perjalanan domestik dan antarabangsa semakin seimbang, dengan trafik dalam negara kembali meningkat selepas susut pada Julai 2026, manakala perjalanan destinasi luar negara terus menunjukkan momentum pertumbuhan.

 

Jelasnya, trafik penumpang rangkaian tempatan meningkat 5.2% bulan ke bulan (M0M), disokong trafik domestik yang melonjak kira-kira 6.7% kepada 3.7 juta penumpang dan trafik antarabangsa dengan pertambahan 4.1% kepada sebanyak 4.7 juta penumpang.

 

"Bagi tempoh lapan bulan pertama 2026, rangkaian lapangan terbang tempatan yang dikendalikan MAHB mencatatkan 67.4 juta penumpang, terdiri daripada 37 juta penumpang antarabangsa dan 30.4 juta penumpang domestik," katanya dalam kenyataan.

 

Di peringkat kumpulan termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gökçen, Istanbul, Turkiye, jumlah trafik penumpang MAHB pada Ogos meningkat 5.8% MoM kepada 13.6 juta penumpang, manakala operasi Istanbul merekodkan 5.2 juta penumpang, naik 6.8%.

 

Jumlah trafik kumpulan tersebut selama lapan bulan pertama tahun ini pula mencecah sebanyak 101.3 juta penumpang, sekali gus mencerminkan peningkatan aktiviti perjalanan di rangkaian lapangan terbang yang diuruskan oleh MAHB.

 

MAHB_DagangNews2026
Gambar DagangNews.com / Mohd Naim Firdaus Aziz

 

Beberapa pintu masuk utama turut mencatat pertumbuhan kukuh, dengan KLIA mengendalikan 5.2 juta penumpang, meningkat 3.8% berbanding Julai 2026, manakala Kota Kinabalu dan Kuching masing-masing naik 12% dan 10.8%, sementara Pulau Pinang bertambah 2.3%.

 

"Dari aspek kesalinghubungan, TransNusa memulakan penerbangan terus harian antara Lampung dan KLIA pada 24 Ogos menggunakan pesawat COMAC C909 berkapasiti 95 tempat duduk, membuka laluan baharu antara Malaysia dan wilayah Indonesia itu," kata MAHB.

 

Pada masa sama, KLIA mengekalkan kedudukannya sebagai lapangan terbang antarabangsa keempat paling terhubung di dunia dan hab megahub paling terhubung di rantau Asia Pasifik berdasarkan laporan yang diterbitkan OAG 2026 Megahubs Index.

 

Pengarah Urusan Kumpulan MAHB, Datuk Mohd Izani Ghani berkata, peningkatan perjalanan menunjukkan aktiviti penumpang semakin kukuh, namun pertumbuhan trafik perlu disokong kemudahan dan standard perkhidmatan yang boleh memberikan keyakinan kepada penumpang.

 

Sejajar dengan peningkatan trafik, MAHB mula menerbitkan Laporan Prestasi Bulanan KLIA bagi meningkatkan ketelusan prestasi perkhidmatan, dengan pada Ogos 2026, kepuasan keseluruhan penumpang di Terminal 1 dan 2 kekal tinggi iaitu 99.7%. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved