amree28/09/2026 - 10:00 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 28 Sept — Pelabur asing kembali menjual ekuiti di Bursa Malaysia selepas seminggu sebagai pembeli, dengan mencatatkan aliran keluar bersih RM473.1 juta, kata MBSB Research.
Firma penyelidikan tersebut berkata, jualan tertinggi dicatatkan pada Rabu iaitu mencecah sebanyak RM230.7 juta, diikuti Jumaat (RM132.8 juta), Khamis (RM109.3 juta) dan Isnin (RM20.7 juta).
Sementara itu tambahnya lagi dalam nota analisis berkenaan, hanya dagangan pada Selasa yang mencatatkan aktiviti aliran masuk bersih pelabur asing iaitu kira-kira RM20.4 juta.
"Tiga sektor utama mencatatkan belian bersih asing terbesar iaitu tenaga sebanyak RM104.0 juta, teknologi (RM64.8 juta) serta pengangkutan dan logistik (RM25.2 juta)," jelas MBSB Research.
Tiga sektor pula ujarnya, menyaksikan aliran keluar bersih asing tertinggi iaitu utiliti sebanyak RM289.2 juta), perkhidmatan kewangan (RM162.5 juta) serta penjagaan kesihatan (RM152.3 juta).
Tambah firma penyelidikan tersebut, institusi tempatan mengakhiri aktiviti penjualan bersih yang dicatatkan selama dua minggu berturut-turut dengan menjadi membeli ekuiti sebanyak RM384.0 juta.
Pada masa yang sama jelasnya, pelabur runcit tempatan pula meneruskan rentak aliran masuk bersih selama tempoh lima minggu, dengan merekodkan jumlah pembelian sebanyak RM89.0 juta.
Purata jumlah dagangan harian (ADTV) katanya, adalah menyusut dengan peruncit tempatan, dan institusi masing-masing merosot 3.3% dan 12.0%, manakala institusi asing jatuh 36.3%. - DagangNews.com






