amree28/09/2026 - 18:15 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 28 Sept — Bedi Berhad boleh meneruskan pengambilalihan dua syarikat di Sabah bernilai keseluruhan kira-kira RM38.87 juta selepas semua syarat terdahulu bagi proses transaksi berkenaan berjaya dipenuhi kumpulan itu pada 28 September 2026.
Pemerolehan itu membabitkan keseluruhan kepentingan ekuiti Sejati Sentral (Sandakan) Sdn Bhd dan FYT Land (KK) Sdn Bhd daripada BEDI Development Sdn Bhd (BDSB), menjadikan transaksi berkenaan antara perkembangan penting dalam pelan pengembangan.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata segala syarat dalam perjanjian jual beli saham (SSA) dapat dipenuhi, sekali gus menyebabkan kedua-dua pengambilalihan 100 ekuiti tersebut menjadi tanpa syarat mengikut terma perjanjian.
"Daripada jumlah RM38.87 juta itu, kira-kira RM17 juta diperuntukkan bagi usaha pengambilalihan keseluruhan kepentingan dalam Sejati Sentral, manakala baki sebanyak RM21.87 juta lagi bagi FYT Land," jelas kenyataan Bedi berkenaan.
Kedua-dua transaksi tersebut sebelum ini ujarnya, memperoleh kelulusan pemegang saham menerusi Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) yang berlangsung di Jesselton Docklands Live Lab, Kota Kinabalu, Sabah pada 28 September 2026.
Keempat-empat usul biasa yang dibentangkan pada EGM itu turut diluluskan melalui pengundian secara undi sulit dengan 100% undi menyokong bagi setiap resolusi berkenaan.

Bagi cadangan pengambilalihan Sejati Sentral, sebanyak 33 pemegang saham mengundi menyokong tanpa sebarang undi menentang, manakala pengambilalihan FYT Land mendapat sokongan 31 pemegang saham, juga tanpa undi yang membantah usul tersebut.
"Pemegang saham turut meluluskan mandat baharu bagi urus niaga pihak berkaitan (RPT) berulang yang bersifat hasil atau perdagangan, selain mandat bersyarat bagi RPT berulang selepas penyempurnaan pengambilalihan berkenaan," tambah Bedi.
Mandat baharu itu mendapat sokongan 35 pemegang saham, manakala mandat bersyarat selepas pengambilalihan diluluskan dengan sokongan 31 pemegang saham, dengan kedua-duanya juga tanpa ada undi yang menentang.
Bedi berkata keputusan pengundian berkenaan telah disahkan oleh Propoll Solutions Sdn Bhd selaku pemeriksa bebas yang dilantik syarikat.
Dengan semua syarat terdahulu kini dipenuhi serta kelulusan pemegang saham diperoleh, kedua-dua transaksi pengambilalihan bernilai kira-kira RM38.87 juta itu menjadi tanpa syarat, selaras dengan terma dan syarat SSA yang dimeterai antara pihak terbabit. - DagangNews.com






