Hap Seng Consolidated jual 50.82% pegangan bernilai RM446 juta dalam Hafary di Singapura

LocalBusiness & Finance
28 Sep 2026 • 9:40 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Hap Seng Consolidated jual 50.82% pegangan bernilai RM446 juta dalam Hafary di Singapura Image from: Hap Seng Consolidated jual 50.82% pegangan bernilai RM446 juta dalam Hafary di Singapura amree28/09/2026 - 09:40 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 28 Sept — Hap Seng Consolidated Berhad (HSCB) bakal menerima kira-kira S$140.04 juta (RM446.38 juta) tunai daripada pelupusan pegangan 50.82% dalam Hafary Holdings Ltd (HHL), dengan hampir keseluruhan hasil akan digunakan untuk mengurangkan pinjaman kumpulan.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, ia berkata, anak syarikatnya, Hap Seng Investment Holdings Pte Ltd (HSIH), bersetuju menerima tawaran pengambilalihan sukarela secara bersyarat oleh 23 Capital Pte Ltd bagi menjual 218.79 juta saham HHL pada harga S$0.64 (RM2.04) sesaham.

 

Ujar kumpulan itu, nilai keseluruhan pelupusan tersebut, berdasarkan kadar tukaran setiap S$1 kepada RM3.1878, dengan transaksi berkenaan dijangka dapat diselesaikan pada Disember 2026, tertakluk kepada kejayaan tawaran yang dilaksanakan.

 

"HHL merupakan sebuah syarikat tersenarai di Papan Utama Singapore Exchange (SGX) yang terlibat dalam perniagaan bahan binaan, termasuk jubin, batu, mozek, lantai kayu, permukaan kuarza serta kelengkapan sanitari dan paip," tambah kenyataan HSCB.

 

Pelupusan itu membolehkan kumpulan merealisasikan pelaburannya pada harga tawaran yang memberikan premium S$0.40 (RM1.27) sesaham berbanding kos pelaburan asal S&0.24 (RM0.76) sesaham, selain premium berbanding harga pasaran dan harga dagangan sejarah.

 

Harga tawaran itu masing-masing mewakili premium 4.9% berbanding harga terakhir HHL pada 25 September 2026, 19.9% berbanding purata harga wajaran volum (VWAP) 12 bulan dan 43.8% berbanding harga penutupan terendah dalam tempoh setahun.

 

Hap Seng Consolidated_DagangNews2026

 

Jelas HSCB, daripada hasil kasar pelupusan tersebut, kira-kira S$139.72 juta (RM445.38 juta) akan digunakan untuk pembayaran pinjaman dalam tempoh 36 bulan, manakala baki sebanyak S$.31 juta (RM1 juta) diperuntukkan bagi kos transaksi berkenaan.

 

"Langkah ini dijangka mengukuhkan kedudukan kewangan dan fleksibiliti kewangan kumpulan, selain membolehkan HSIH keluar daripada segmen hiliran industri bahan binaan. Kumpulan menganggarkan keuntungan kasar daripada pelupusan sekitar RM187.3 juta," katanya.

 

Tambahnya, berdasarkan simulasi proforma, pembayaran hutang tersebut berpotensi menjimatkan kos faedah selepas cukai kira-kira RM14.9 juta setahun, berdasarkan kepada kadar faedah purata pinjaman kumpulan berkenaan sekitar 4.40% setahun.

 

Selepas pelupusan, ia bukan lagi menjadi anak syarikat dan kumpulan tidak menerima hasil, aset bersih serta dividen daripada HHL, dengan nisbah hutang bersih kepada ekuiti HSCB secara proforma dijangka bertambah baik daripada 0.41 kali kepada hanya 0.28 kali.

 

Nilai aset bersih sesaham kumpulan pula dijangka meningkat daripada RM3.19 kepada RM3.26, manakala tawaran pengambilalihan itu mempunyai syarat penerimaan minimum bagi membolehkan 23 Capital melaksanakan hak pengambilalihan wajib.

 

"Bagaimanapun, HSIH bersama tiga promoter 23 Capital memberikan aku janji tidak boleh ditarik balik yang meliputi 387.32 juta saham atau 89.96% saham HHL, dan HSCB menjangkakan transaksi selesai pada Disember 2026 tanpa memerlukan kelulusan pemegang saham," katanya. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved