Mahkamah perintah syarikat pelaburan emas Genneva dibubarkan

LocalBusiness & Finance
30 Sep 2026 • 5:24 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Mahkamah perintah syarikat pelaburan emas Genneva dibubarkan Image from: Mahkamah perintah syarikat pelaburan emas Genneva dibubarkan hamden30/09/2026 - 17:24

KUALA LUMPUR 30 Sept - Genneva Sdn Bhd, syarikat yang dikaitkan dengan penipuan pelaburan emas secara besar-besaran, diperintah untuk dibubarkan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam, satu langkah yang dijangka membuka peluang kepada mangsa mendapatkan semula kerugian mereka.

 

Dalam penghakiman ringkas pada Rabu, Hakim Wan Fadhilah Nor Wan Idris mendapati Genneva, yang telah disabitkan atas kesalahan menerima deposit secara tidak sah, telah kehilangan asas operasinya selepas tidak beroperasi selama bertahun-tahun.

 

Menurut laporan The Edge, mahkamah turut mendapati syarikat itu tidak mempunyai lesen dan permit yang diperlukan untuk meneruskan semula perniagaan asalnya, selain terdapat kelemahan dalam rekod syarikat serta ketiadaan lembaga pengarah yang berfungsi.

 

Mahkamah kemudian membenarkan perintah penggulungan dan mengesahkan Wong Weng Foo sebagai pelikuidasi interim untuk menguruskan pembubaran syarikat berkenaan.

 

Ng Wan Yee, yang memegang 750,000 saham dalam Genneva, memfailkan permohonan untuk menggulung syarikat itu pada Ogos 2024 bagi menghalang pengarah lain daripada mengeluarkan lebih RM21 juta aset syarikat yang telah dilepaskan daripada sekatan.

 

Permohonan itu dibuat susulan perintah Mahkamah Sesyen pada 28 Jun 2024 yang membatalkan perintah penyitaan di bawah undang-undang antipengubahan wang haram terhadap jutaan ringgit serta kira-kira 28.3 kilogram jongkong emas.

 

Dalam petisyennya, Wan Yee berkata terdapat "kemungkinan tinggi" bahawa pengarah yang masih berfungsi atau pihak berkaitan lain mungkin melupuskan aset tersebut untuk kepentingan peribadi dan bukannya menyelesaikan tuntutan ribuan pelabur.

 

Beliau turut mendakwa sesetengah pengarah telah cuba "menyedut wang" atas alasan membayar yuran profesional.

 

Sementara itu, pemiutang yang membantah, Liew Chio Chuan, pemegang saham 25% dalam Genneva, mencabar pelantikan Wong dengan mendakwa terdapat "ketidakdedahan material" oleh Wan Yee serta "tiada bahaya sebenar" aset akan hilang sebelum pendengaran rasmi di mahkamah.

 

Pertikaian itu turut melibatkan pemindahan dana yang dibuat hanya beberapa hari sebelum petisyen penggulungan difailkan.

 

Rekod menunjukkan selepas perintah penyitaan dibatalkan, pengarah Genneva telah memberi kebenaran untuk memindahkan RM11.66 juta daripada akaun syarikat di Maybank dan Public Bank ke akaun pemegang amanah yang dikendalikan peguam lama syarikat, Tetuan Gooi & Azura.

 

Peguam berkenaan dan Maybank mempertahankan pemindahan tersebut dengan merujuk kepada resolusi lembaga pengarah bertarikh 26 Jun 2024 serta "surat kebenaran" bertarikh sejak 2016.

 

Mereka turut menegaskan Maybank tidak mengetahui mengenai petisyen penggulungan yang akan difailkan pada ketika pemindahan itu dibuat.

 

 

 

 

 

Genneva dan barisan pengurusan kanannya sebelum ini didapati bersalah pada Ogos 2020 kerana menerima deposit berjumlah puluhan juta ringgit secara tidak sah.

 

Syarikat itu dikenakan denda RM450 juta, manakala beberapa eksekutifnya turut dipenjarakan dan dikenakan denda berjumlah ratusan juta ringgit.

 

Genneva sebelum ini memperkenalkan skim perdagangan emas yang didakwa "patuh syariah", yang dilancarkan pada 15 Disember 2010. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved