Penceramah bebas, Fathi Na’im dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi selepas rayuannya terhadap sabitan dan hukuman bagi tiga pertuduhan merogol serta melakukan amang seksual terhadap seorang remaja perempuan dibenarkan.
Hakim Roszianayati Ahmad membuat keputusan itu selepas mengetepikan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen pada tahun lalu terhadap Fathi Na’im atau nama sebenarnya Muhammad Fathi Na’im Mazlam, 34.
Mahkamah Tinggi mendapati berlaku kekhilafan di peringkat Mahkamah Sesyen apabila permohonan penangguhan tidak dibenarkan bagi memberi peluang kepada perayu mendapatkan khidmat peguam.

Keadaan itu, menurut mahkamah, telah memprejudiskan perayu sehingga menyebabkan beliau terpaksa mengendalikan sendiri pembelaannya sepanjang perbicaraan.
Dalam prosiding rayuan tersebut, Fathi Na’im diwakili peguam Muhammad Fazaly Ali Mohd. Ghazali, manakala pihak pendakwaan yang bertindak sebagai responden diwakili Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Redza Azhar Rezali.
Sebelum ini, pada 18 September 2025, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan tiga sebatan terhadap Fathi Na’im selepas didapati bersalah atas tiga pertuduhan berkenaan.
Hakim Noridah Adam ketika itu memutuskan pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.
Mengikut pertuduhan pertama, Fathi Na’im didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa di dalam sebuah kereta di kawasan parkir Dataran Eco World, Bandar Baru Puncak Alam pada Jun 2021.
Bagi dua lagi pertuduhan, beliau didakwa merogol remaja perempuan berusia 13 tahun di lokasi sama pada awal Julai dan 27 Julai 2021.
Kes amang seksual itu didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017, manakala dua pertuduhan rogol pula mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan.
Terdahulu, pada 12 Mei lalu, Fathi Na’im turut dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur daripada satu lagi pertuduhan merogol mangsa di sebuah hotel lima tahun lalu selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di akhir pendakwaan. – KOSMO ONLINE
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.

29 Selebriti Diisytihar Bankrap, Ada Artis Legenda, Pelakon Veteran Dan Bekas Hero Remaja
The post Mahkamah Tinggi Bebaskan Pendakwah Bebas Fathi Na’im Daripada Tiga Pertuduhan Rogol Dan Amang Seksual first appeared on Beautifulnara -Terkini dan Sensasi.






