
KLANG – Penceramah bebas, Fathi Na’im dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam, atas tiga kes merogol dan melakukan amang seksual remaja perempuan berusia 14 tahun, lima tahun lalu.
Hakim, Roszianayati Ahmad memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan Fathi Na’im atau nama sebenarnya Muhammad Fathi Na’im Mazlam, 34, untuk mengetepikan sabitan dan hukuman dijatuhkan Mahkamah Sesyen di sini pada tahun lalu.
Perayu dibebaskan selepas Mahkamah Tinggi mendapati, berlaku kekhilafan di peringkat mahkamah rendah kerana tidak membenarkan penangguhan, bagi membolehkan perayu mendapatkan khidmat peguam.
Justeru ia telah memprejudiskan perayu sehingga menyebabkan penceramah berkenaan terpaksa mengendalikan sendiri pembelaannya.
Dalam prosiding rayuan, Muhammad Fathi Na’im selaku perayu diwakili peguam, Muhammad Fazaly Ali Mohd. Ghazali manakala pendakwaan yang bertindak sebagai responden dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Redza Azhar Rezali.
Pada 18 September 2025, Fathi Na’im dihukum penjara 15 tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini atas tiga pertuduhan berkenaan.
Hakim, Noridah Adam yang bersidang di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, memutuskan demikian selepas mendapati tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.
Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa dalam sebuah kereta di kawasan parkir Dataran Eco World, Bandar Baru Puncak Alam di sini pada Jun 2021.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan hukuman sebat.
Bagi dua lagi pertuduhan, dia didakwa merogol seorang remaja perempuan berusia 13 tahun, dalam sebuah kereta di kawasan parkir Dataran Eco World, Bandar Baru Puncak Alam pada jam 3 dan 7 petang, awal Julai dan 27 Julai 2021.
Dia dituduh mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan hendaklah dikenakan hukuman sebat, jika sabit kesalahan.
Pada 12 Mei lalu, Fathi Na’im turut dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas satu pertuduhan merogol mangsa di sebuah hotel lima tahun lalu.
Hakim Tasnim Abu Bakar memutuskan demikian terhadap Fathi Na’im selepas mendapati pihak pendakwaan gagal menimbulkan prima facie diakhir pendakwaan kes itu. – KOSMO! ONLINE
The post Fathi Na’im bebas lagi tiga pertuduhan ‘sentuh’ remaja 14 tahun appeared first on Kosmo Digital.






