
Penceramah bebas Muhammad Fathi Na’im Mazlam dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini daripada tiga pertuduhan merogol serta melakukan amang seksual terhadap seorang remaja perempuan berusia 13 tahun, lima tahun lalu.
Memetik laporan Harian Metro, hakim Roszianayati Ahmad membuat keputusan itu semalam selepas membenarkan rayuan Muhammad Fathi Na’im, 34, untuk mengetepikan sabitan dan hukuman yang dikenakan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada tahun lalu.
Mahkamah Tinggi mendapati berlaku kekhilafan di peringkat Mahkamah Sesyen apabila permohonan penangguhan perbicaraan tidak dibenarkan bagi membolehkan Muhammad Fathi Na’im mendapatkan khidmat peguam. Hakim berpendapat keadaan itu telah menjejaskan hak perayu sehingga dia terpaksa mengendalikan sendiri pembelaannya sepanjang prosiding.
Pada 18 September tahun lalu, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan tiga sebatan terhadap Muhammad Fathi Na’im selepas mendapati dia gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap tiga pertuduhan berkenaan pada akhir kes pembelaan.
Baca juga:
‘Bukan untuk berlumba, bukan menunjuk hebat’ – Peserta RXZ Members 8.0
Maryam akui pilih Islam kerana keyakinan sendiri, bukan paksaan- Penceramah bebas dilepas, bebas daripada tiga pertuduhan seksual
Berdasarkan pertuduhan pertama, Muhammad Fathi Na’im didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja berusia 13 tahun dalam sebuah kereta di kawasan parkir Dataran Eco World, Bandar Baru Puncak Alam, pada Jun 2021. Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta sebatan.
Bagi dua pertuduhan lain, dia didakwa melakukan kesalahan rogol terhadap mangsa di lokasi sama pada jam 3 petang dan 7 malam, masing-masing pada awal Julai serta 27 Julai 2021. Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.
The post Penceramah bebas dilepas, bebas daripada tiga pertuduhan seksual appeared first on The Reporter.






