Mahkamah Tinggi benarkan SC mulakan prosiding komital terhadap Tan Bee Geok kerana melanggar penghakiman persetujuan

LocalBusiness & Finance
12 Aug 2026 • 6:24 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Mahkamah Tinggi benarkan SC mulakan prosiding komital terhadap Tan Bee Geok kerana melanggar penghakiman persetujuan Image from: Mahkamah Tinggi benarkan SC mulakan prosiding komital terhadap Tan Bee Geok kerana melanggar penghakiman persetujuan hamden12/08/2026 - 18:24 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 12 Ogos - Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memberikan kebenaran kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) untuk memulakan prosiding komital terhadap Tan Bee Geok kerana melanggar terma penghakiman persetujuan yang dimeterai dengan SC pada 17 September 2020.

 

Penghakiman persetujuan itu susulan prosiding yang dimulakan SC terhadap Tan kerana melanggar Seksyen 188(3)(a) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA), apabila Tan telah menyampaikan maklumat dalaman berkaitan APL Industries Berhad kepada adiknya, Tan Bee Hong.

 

SC dalam kenyataan berkata, susulan penghakiman persetujuan tersebut, Tan bersetuju, antara lain, untuk tidak bertindak sebagai pengarah atau terlibat dalam pengurusan mana-mana syarikat awam tersenarai (PLC) atau mana-mana anak syarikat PLC bagi tempoh lima tahun dari tarikh penghakiman.

 

Bagaimanapun, meskipun larangan itu berkuat kuasa, Tan kemudiannya terus bertindak sebagai pengarah anak syarikat sebuah PLC dan kekal terlibat secara aktif dalam pengurusan syarikat berkenaan, sekali gus melanggar terma penghakiman persetujuan tersebut.

 

Susulan itu, SC memfailkan permohonan ex-parte untuk mendapatkan kebenaran memulakan prosiding komital terhadap Tan pada 17 September 2025.

 

Mahkamah Tinggi kemudiannya mengarahkan supaya permohonan tersebut didengar secara ex-parte yang dibantah.

 

Pada 12 Ogos 2026, Hakim Mahkamah Tinggi, Yang Arif Leong Wai Hong, membenarkan permohonan SC dan memberikan kebenaran untuk memulakan prosiding komital terhadap Tan.

 

SC diwakili Mohd Hafiz Mohd Yusoff, Ng Chian Huey, Loo Kit Ming Keith dan Siti Sarah Kamaruzaman, bersama peguam luar yang dilantik SC, Benjamin John Dawson dan Eileen Othman daripada Tetuan Benjamin Dawson.

 

Tan pula diwakili Sivanesan Ravenesan dan Siti Nur Amirah daripada Tetuan S Ravenesan.

 

SC memandang serius pelanggaran penghakiman persetujuan dalam kes berkaitan undang-undang sekuriti.

 

Menurut SC, tindakan tidak mematuhi penghakiman bukan sahaja menjejaskan keberkesanan penguatkuasaan kawal selia, malah boleh menghakis rasa hormat terhadap kewibawaan perintah mahkamah dan pentadbiran keadilan.

 

Permulaan prosiding komital itu menegaskan komitmen SC untuk memastikan pematuhan terhadap kewajipan yang diputuskan mahkamah serta memastikan pihak yang gagal mematuhinya bertanggungjawab terhadap ketidakpatuhan tersebut. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved