
SHAH ALAM – “Pintu masih dibuka. Minta maaf sajalah, kita berdamai dan selesai.”
Demikian kenyataan penyanyi, Nubhan mengenai kes komital terhadap bekas isterinya, Dr. Fie atas dakwaan mengingkari atau melanggar perintah mahkamah yang kini masih dalam prosiding.
Nubhan atau nama sebenarnya Ahmad Nubhan Ahamad, 40, berkata, tidak pernah terlintas untuk mengheret bekas isteri ke muka pengadilan namun wanita itu yang melanggar perjanjian dibuat sendiri.
“Dia yang memohon buat perjanjian tambahan (mana-mana pihak dilarang burukkan satu sama lain), kenapa dia sendiri langgar? Takkan salah saya pula. Selama ini saya diam, orang akan anggap dakwaannya betul sebab saya tak balas.
“Apa pun macam saya katakan sebelum ini, kalau dia minta maaf secara terbuka dan dipersetujui saya dengan ikut terma undang-undang, kes dah selesai. Permohonan maaf ini bukan nak cakap siapa betul atau siapa salah. Kita dah ada anak-anak, kita nak berdamai.
“Saya dah cakap dah, minta maaf sajalah. Kalau dia harapkan saya berlembut hati, adakah bermakna dia sekarang sedar pelanggaran dibuat,” katanya ketika ditemui di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, di sini, hari ini.
Menurutnya lagi, dia enggan menjawab serta melayan provokasi di media sosial kerana tidak mahu mencetuskan lebih banyak kontroversi, selain ingin menjaga emosi dan kehidupan harian masing-masing.
“Saya malas nak drama-drama dekat media sosial. Saya tak suka. Kita berpegang sahaja pada janji yang sudah dipersetujui tempoh hari. Tak perlu buat drama.
“Kalau fitnah berlaku, perkara yang tidak benar tentang kita memang susah untuk diterima. Saya kalau boleh biarlah diam saja. Cuma disebabkan dia sendiri langgar klausa, saya terpaksa failkan komitel,” ujarnya.
Menurutnya, sebelum ini dia dan Dr. Fie atau nama lengkap Dr. Afifah Hidayah Ahmad Tawfek, 36, membuat perjanjian yang kemudian diendors sebagai perintah mahkamah termasuk larangan mendedahkan perkara yang memburukkan mana-mana pihak.
Ditanya mengenai dakwaan bahawa dia memantau akaun Instagram bekas isterinya setiap hari untuk mencari kesalahan bagi tujuan prosiding komital, Nubhan menafikan perkara tersebut.
“Tak ada. Saya tak perhatikan dan saya pun dah unfollow dia lama. Saya banyak kerja nak kena buat. Saya tak ada masa nak pergi stalk atau apa. Saya tak tahu,” katanya.
Nubhan turut menafikan mempunyai akaun palsu bagi memantau segala pergerakan mahupun hantaran dikongsikan bekas isterinya.
“Tak ada. Saya tak pernah ada akaun palsu. Tiada! Saya pun banyak kerja lain nak buat. Lagipun saya dah lama unfollowed (nyahikut),” ujarnya.
Sebelum ini, Nubhan memfailkan prosiding komital terhadap bekas isteri atas dakwaan pelanggaran perintah mahkamah pada Mei lalu.
Prosiding komital membabitkan penyanyi, Nubhan Dr. Afifah ditangguhkan Januari 2027 selepas pihak pemohon didakwa belum menyempurnakan prosedur diperlukan mahkamah
Nubhan dan Dr. Fie juga pempengaruh sah bercerai talak dua di Mahkamah Rendah Syariah Sepang pada 2 Disember 2025. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Saya malas berdrama, minta maaf saja dan kita berdamai’ appeared first on Kosmo Digital.





