Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.

Pemain perseorangan badminton negara, Lee Zii Jia, dilaporkan memohon campur tangan mahkamah bagi menghalang bapa dan kakaknya daripada membuat keputusan tertentu berkaitan kewangan serta pengurusan syarikat miliknya, LZJ Management.
Permohonan injunksi interim itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menerusi saman bertarikh 2 Julai 2026 dengan nombor kes WA-24NCC-400-07/2026.
Selain bapanya, Lee Chee Hin, dan kakaknya, Lee Zii Yii, Zii Jia turut menamakan adiknya, Lee Tao, serta LZJ Management sebagai responden dalam kes berkenaan.
Mohon bapa & kakak tak luluskan manfaat kewangan untuk diri sendiri
Menerusi permohonan tersebut, Zii Jia mahu bapanya dan kakaknya, yang juga merupakan pengarah syarikat, dihalang daripada meluluskan fi pengarah, elaun, bonus atau sebarang manfaat kewangan lain untuk diri sendiri selain gaji bulanan masing-masing.
Bukan itu sahaja, pemain badminton itu turut memohon supaya beberapa keputusan penting berkaitan syarikat tidak boleh dibuat tanpa kelulusan mahkamah.
Antaranya termasuk pelantikan atau penyingkiran pengarah, pelantikan setiausaha syarikat, pelupusan aset utama, penerbitan saham baharu serta sebarang perubahan terhadap struktur pemilikan saham.
Artikel berkaitan: “Tak yah tulis karangan dah if u know, u know” – Komen Lee Zii Jia Tarik Perhatian Ramai
Artikel berkaitan: Kongsi Beberapa Lakaran ‘Pelik’ Di Instagram, Posting Terbaharu Lee Zii Jia Buat Ramai Risau
Menurut permohonan itu, Zii Jia mendakwa dirinya memiliki 90 peratus kepentingan dalam LZJ Management, manakala kakaknya, Zii Yii, memegang sembilan peratus dan adiknya, Lee Tao, memiliki baki satu peratus.
Dalam masa sama, Zii Jia turut memohon perintah mahkamah supaya satu mesyuarat agung luar biasa (EGM) diadakan bagi membincangkan perkara berkaitan pengurusan serta tadbir urus syarikat tersebut.
Permohonan injunksi interim itu bertujuan menetapkan batasan terhadap tindakan tertentu sepanjang pertikaian undang-undang berkenaan masih berjalan.
Sumber: Berita Harian
Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.






