liza25/09/2026 - 11:52 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 25 Sept – Kemenangan terbaharu kontrak UUE Holdings Bhd bernilai RM29.8 juta di Singapura hanya meningkatkan jumlah keseluruhan kepada RM127.9 juta iaitu kira-kira 40% daripada sasaran RM320 juta yang ditetapkan RHB Research.
Firma penyelidikan itu berkata jumlah itu meningkat kira-kira RM49 juta daripada sekitar RM79 juta pada 5 Ogos 2026.
Bagaimanapun, RHB Research masih mengekalkan sasaran penggantian kontrak RM320 juta kerana anggarannya dibuat secara konservatif dengan mengambil kira kemungkinan projek mengalami kelewatan dan hasil kontrak diterima secara berperingkat dalam tempoh dua tahun.
“Aliran bidaan UUE Holdings kekal sihat, melibatkan tender daripada SP PowerAssets, Tenaga Nasional Bhd (TNB) dan sektor swasta,” kata RHB Research dalam nota kajiannya.
Kontrak Singapura beri margin lebih tinggi
Melalui anak syarikat milik penuhnya, Konnection Engineering Sdn Bhd, UUE Holdings menerima empat kontrak daripada Wee Guan Construction bagi kerja berkaitan SP PowerAssets.
ARTIKEL BERKAITAN: UUE peroleh 4 kontrak kerja infrastruktur kabel tenaga bernilai RM30 juta di Singapura
Skop utama kontrak itu melibatkan pemasangan paip polietilena berketumpatan tinggi (HDPE) menggunakan kaedah penggerudian arah mendatar (HDD).
Daripada nilai keseluruhan kontrak, kira-kira 72% atau S$6.7 juta dijangka diterima menjelang Disember 2027, manakala baki akan diterima menjelang Disember 2028.
RHB Research berkata kerja-kerja di Singapura lazimnya memberikan margin keuntungan kasar antara 30% hingga 35%, berbanding 15% hingga 20% bagi kerja berkaitan TNB.
Prospek pendapatan masih meningkat
RHB Research turut menjangkakan keuntungan bersih berulang UUE Holdings meningkat kepada RM37 juta pada tahun kewangan 2027 daripada RM22 juta pada tahun kewangan 2026.
Dalam pada itu, RHB Research menurunkan penarafan UUE Holdings kepada Neutral daripada Beli, meskipun menaikkan harga sasaran kepada 80 sen daripada 70 sen, selepas harga saham syarikat meningkat 43% setakat tahun ini.
Menurut RHB Research, kenaikan harga sasaran itu mencerminkan penilaian 21 kali nisbah harga kepada pendapatan bagi tahun kalendar 2027, manakala harga sasaran baharu tersebut memberikan potensi kenaikan kira-kira 6% daripada harga pasaran 76 sen.
RHB Research berkata penurunan penarafan itu dibuat kerana sebahagian besar perkembangan positif yang dijangka telah diterjemahkan ke dalam penilaian saham selepas kenaikan harga yang ketara. - DagangNews.com






