MAIWP perkukuh tadbir urus masjid, surau elak ketirisan

LocalPolitics
7 May 2026 • 4:35 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: MAIWP perkukuh tadbir urus masjid, surau elak ketirisan
Syed Kamarulzaman

KUALA LUMPUR - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) terus memperkukuh usaha memastikan semua institusi masjid dan surau di Wilayah-Wilayah Persekutuan berada pada tahap tadbir urus terbaik serta bebas daripada sebarang isu ketirisan.

Pengerusinya, Datuk Syed Kamarulzaman Syed Kabeer berkata, cadangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mewujudkan undang-undang khusus bagi pengurusan kewangan masjid dan surau dilihat sebagai langkah memperkukuh lagi sistem sedia ada.

Menurutnya, MAIWP ketika ini sudah pun mempunyai kerangka undang-undang, peraturan serta garis panduan yang jelas bagi mengawal selia pengurusan institusi tersebut.

"Antaranya termasuk Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 [Akta 505], Kaedah-Kaedah Jawatankuasa Kariah 2019, Garis Panduan Kewangan Masjid dan Surau serta Garis Panduan Jawatankuasa Surau 2023,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Syed Kamarulzaman berkata, mekanisme pemantauan turut dilaksanakan melalui Jawatankuasa Tadbir Urus Masjid dan Surau bagi memastikan aspek pengurusan sentiasa berada dalam landasan yang ditetapkan.

Tambahnya, sebarang cadangan penambahbaikan termasuk penggubalan undang-undang baharu akan diteliti secara menyeluruh bagi memastikan ia selari dengan keperluan semasa dan mampu memperkukuh integriti institusi masjid serta surau.

"MAIWP juga sentiasa menilai dari semasa ke semasa keperluan penambahbaikan terhadap peraturan dan garis panduan sedia ada bagi memastikan keberkesanan penguatkuasaan dan tadbir urus,” katanya.

Dalam masa sama, beliau berkata, MAIWP akan terus bekerjasama rapat dengan SPRM serta agensi berkaitan dalam usaha mempertingkatkan tahap integriti dan keyakinan masyarakat terhadap pengurusan institusi Islam di Wilayah-Wilayah Persekutuan.