Majlis Perbandaran Hulu Selangor naik taraf ciri keselamatan laluan ke terminal bas, sekolah

15 Oct 2026 • 11:00 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Majlis Perbandaran Hulu Selangor naik taraf ciri keselamatan laluan ke terminal bas, sekolah

HULU SELANGOR, 15 OKT: Keselamatan pelajar yang berjalan kaki dari Terminal Bas Kuala Kubu Bharu (KKB) ke sekolah dipertingkat melalui projek naik taraf laluan pejalan kaki bernilai kira-kira RM500,000.

Menurut yang dipertua Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS), projek itu menghubungkan terminal itu dengan empat sekolah di pekan KKB bagi memudahkan pergerakan pelajar yang menggunakan pengangkutan awam.

Image from: Majlis Perbandaran Hulu Selangor naik taraf ciri keselamatan laluan ke terminal bas, sekolah
Wawancara Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) Julaihah Jamaludin di pejabatnya di Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor pada 25 September 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

"Kita tahu ada pelajar yang menaiki bas dan turun di Terminal Bas Kuala Kubu Bharu sebelum berjalan kaki ke sekolah.

"Jadi, projek ini sudah dianugerah dan kita akan menaik taraf laluan dari terminal bas hingga ke sekolah-sekolah di sekitar Pekan Kuala Kubu Bharu," kata Julaihah Jamaludin kepada Media Selangor.

Beliau memberitahu beberapa bahagian laluan pejalan kaki di pekan berkenaan turut dilengkapi pagar bagi mengasingkan pejalan kaki daripada laluan kenderaan.

Katanya, aspek aksesibiliti juga diberi perhatian iaitu laluan pejalan kaki perlu memiliki kelebaran mencukupi bagi memudahkan pergerakan pengguna kerusi roda.

"Kita lihat laluan pejalan kaki sekurang-kurangnya perlu lebar, mesti dua meter dengan rizab yang ada supaya pengguna kerusi roda lebih mudah menggunakannya.

Image from: Majlis Perbandaran Hulu Selangor naik taraf ciri keselamatan laluan ke terminal bas, sekolah
Laluan pejalan kaki yang akan dibina di sekitar pekan Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

"Dulu mungkin kita tidak begitu mahir mengenai perkara ini atau permintaannya tidak begitu tinggi, tetapi sekarang kita lihat kemudahan ini perlu ditambah baik," katanya.

Julaihah berkata penyediaan laluan yang baik penting bagi melengkapkan jaringan pengangkutan awam khususnya untuk pengguna yang turun daripada bas atau kereta api.

Selain KKB, beliau menjelaskan kemudahan sama turut disediakan di Bukit Sentosa bagi menghubungkan kawasan perumahan dengan kawasan komersial.

"Di Bukit Sentosa, kita menyediakan laluan yang menghubungkan kawasan perumahan dengan kawasan komersial. Penduduk boleh berjalan kaki ke sana tanpa perlu menggunakan kenderaan persendirian.

"Kita juga sedang melihat untuk menambah baik laluan pejalan kaki berhampiran institusi kesihatan bagi memberi pengalaman lebih baik kepada pengguna pengangkutan awam," katanya.

Julaihah berkata penambahbaikan yang dirancang antaranya melebar laluan pejalan kaki berhampiran hospital dan membaiki kemudahan berbumbung.

"Kemudahan turun daripada bas di kawasan hospital misalnya, kita sedang merancang untuk tambah baik. Kita kena lebarkan laluan, bumbung kena ditambah baik dan sepanjang perjalanan perlu disediakan bangku untuk orang berehat," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved