Kes Seleweng Dana Zakat: “Banyak Maklumat Tidak Tepat” — Prof Nazari Ulas Dari Perspektif Ahli Ikram HS

LocalPolitics
23 Apr 2026 • 5:35 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

Image from: Kes Seleweng Dana Zakat: “Banyak Maklumat Tidak Tepat” — Prof Nazari Ulas Dari Perspektif Ahli Ikram HS

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Sejak beberapa hari lalu, rakyat Malaysia digemparkan dengan penahanan tiga individu oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki menyeleweng dana zakat bernilai kira-kira RM230 juta.

Antara individu yang ditahan adalah seorang timbalan pengerusi sebuah badan bukan kerajaan (NGO).

Dua dari mereka kemudiannya direman selama empat hari bermula Rabu (22 April) hingga 25 April untuk membantu siasatan mengikut Akta SPRM 2009.

Tidak lama kemudiannya Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM) tampil mengesahkan telah merehatkan serta-merta tiga ahlinya yang terpalit dengan siasatan SPRM.

Namun Presiden Ikram Badlishah Sham Baharin menegaskan bahawa integriti serta amanah merupakan asas utama yang sentiasa menjadi keutamaan dalam seluruh gerak kerja NGo terbabit.

BACA ARTIKEL BERKAITAN: Kes Seleweng Dana RM230 Juta: Bukan Dari Badan Zakat Tapi Sumbangan Kepada NGO – Azam Baki

BACA ARTIKEL BERKAITAN: Dakwaan Seleweng Dana Zakat: Ikram Rehatkan 3 Ahli, Akan Beri Kerjasama Penuh

MAIPs ada skim zakat Taawun, bolehkan pembayar asingkan 60% untuk dihantar ke NGO

Terbaharu, aktivis terkenal Prof Dr Mohd Nazari Ismail tampil membuka mulut mengenai isu terbabit.

Beliau menerusi satu hantaran di Facebook mendakwa terdapat banyak maklumat yang tidak tepat di internet berkenaan apa yang disebut oleh media sebagai “Kes Penyelewengan Dana Zakat”.

Mengakui yang beliau adalah ahli biasa Ikram Hulu Selangor, Nazari memaklumkan turut mengenali secara peribadi dua individu yang ditahan direman oleh SPRM.

Jelas Nazari, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) mempunyai skim pembayaran zakat yang dipanggil “Taawun” di mana pembayar boleh meminta 60% daripada sumbangan zakat mereka agar dihantar kepada mana-mana NGO yang mereka lantik untuk menerima zakat di bawah salah satu kategori Asnaf yang dipanggil “Fiisabilillah”.

Salah satu NGO yang dicalonkan untuk menerima wang zakat tersebut ialah IKRAM Hulu Selangor, atau turut dikenali sebagai Ikram HS.

NGO kembalikan 20% untuk diagihkan kepada asnaf yang layak terima zakat

Tambahnya, NGO terlibat kemudiannya akan mengembalikan 20% kepada pembayar zakat untuk diagihkan semula kepada sesiapa sahaja (seperti ahli keluarga atau rakan-rakan) yang difikirkannya layak menerima zakat.

Menurut Nazari yang juga Pengerusi BDS Malaysia, individu utama yang disiasat, ‘Encik F’ ialah ahli Ikram Hulu Selangor dan fasilitator untuk skim yang melibatkan Ikram HS.

“Beliau telah bekerja keras selama 20 tahun yang lalu untuk menggalakkan orang ramai membayar zakat kepada MAIPs dan telah mengesyorkan agar mereka mencalonkan Ikram HS untuk menerima 60%.

“Nampaknya, beliau berjaya meyakinkan puluhan ribu rakyat Malaysia untuk berbuat demikian, sekali gus memperoleh lebih daripada RM2 bilion untuk dihantar ke MAIPs dalam tempoh 20 tahun.”

Nazari bagaimanapun menjelaskan ia bukanlah angka tepat memandangkan beliau bukan ahli jawatankuasa IKRAM Hulu Selangor.

“Tetapi tidak hairan ramai yang berminat dengan skim ini kerana mereka boleh mendapat balik 20% dari bayaran zakat mereka untuk diagihkan kpd sanak saudara dan kawan-kawan yg fakir dan miskin yg layak menerima zakat.”

“Encik F dapat 6.25% daripada wang daripada MAIPs, ia halal menurut Mufti Perlis”

Dakwanya lagi, hasil daripada usaha ‘Encik F’, IKRAM HS menerima ratusan juta daripada MAIPs sebagai penerima zakat (Asnaf) di bawah kategori Fisabilillah.

Malah dakwanya ‘Encik F’ turut mendapat 6.25% dari wang yang diterima dari MAIPs.

“Sebagai Asnaf (penerima Zakat), Ikram HS bebas menggunakan wang yang diterima daripada MAIPs mengikut kesesuaian. Antara lain, ia membelanjakan wang tersebut untuk aktiviti dakwah, menganjurkan kuliah tentang Islam, menaja kursus untuk belia, membina sekolah, membuka kedai runcit yang menjual pada kos kepada orang miskin, dan menderma wang kepada banyak organisasi amal.”

“IKRAM Hulu Selangor juga memberi ‘Encik F’ sebanyak 6.25% daripada wang yang diterima daripada MAIPs untuk menggalakkannya meneruskan usahanya yang mengagumkan. Itulah caranya dia menjadi sangat kaya. Boleh lah kira sendiri 6.25% daripada RM2 bilion. Mesti banyak kan? Namun perkara yang paling penting ialah ia adalah halal menurut Mufti Perlis.

“Saya ulangi… Mufti Perlis dan MAIPs kedua-duanya mengatakan bahawa semua yang mereka lakukan adalah halal dan tidak bertentangan dengar Syarak. Juruaudit Ikram HS mengatakan bahawa semuanya mengikut undang-undang. Bahkan Ikram HS melantik juruaudit luaran untuk mengaudit buku kewangan mereka.

“SPRM menyedari situasi ini (mungkin kerana seseorang melaporkan kepada mereka bahawa ‘Encik F’ mempunyai beberapa kereta mewah dan rumah besar) dan menyiasat Ikram Hulu Selangor 2 tahun yang lalu, tetapi pihak SPRM tidak pernah mengatakan bahawa apa yang ‘Encik F’ dan Ikram HS lakukan adalah melanggar undang-undang. Jadi semua orang menyangka semuanya baik-baik saja. Jadi, penangkapan ‘Encik F’ ini mengejutkan kita semua di Ikram Hulu Selangor.”

Kenyataan Nazari kemudiannya tular sehingga ada pengguna Facebook, Arif Yusof yang tampil dengan ilustrasi ringkas bagi memudahkan orang ramai faham mengenai penjelasan tersebut.

Image from: Kes Seleweng Dana Zakat: “Banyak Maklumat Tidak Tepat” — Prof Nazari Ulas Dari Perspektif Ahli Ikram HS
Foto: Arif Yusof

Maza sahkan NGO terlibat penerima zakat bawah asnaf fisabilillah

Terdahulu semalam (22 April) Dr Maza menjelaskan pengurusan zakat di Perlis tidak melibatkan Jabatan Mufti Perlis kerana pentadbiran zakat berada di bawah bidang kuasa MAIPs.

Namun menurut beliau, NGO yang dikaitkan dalam isu tersebut merupakan penerima zakat di bawah kategori asnaf fisabilillah berdasarkan aktiviti dakwah dan pendidikan yang dijalankan.

“NGO berkenaan bukan ejen atau wakil MAIPs untuk mengedarkan atau mengutip zakat, sebaliknya mereka adalah penerima zakat di bawah asnaf fisabilillah,” ujarnya.

Tambah Dr Maza lagi berdasarkan maklumat diberikan MAIPs, NGO terlibat menerima zakat atas cadangan pembayar setelah disemak kelayakan mereka. Malah MAIPS juga akan sentiasa meminta laporan aktiviti daripada pertubuhan berkenaan.

Walau bagaimanapun beliau tiada menyebut yang pihaknya meng’halalkan’ semua yang dilakukan NGO berkenaan seperti yang didakwa Prof Nazari.

BACA ARTIKEL BERKAITAN:

SPRM Tahan 3 Individu, Disyaki Seleweng Dana Zakat Bernilai RM230 Juta