sarah30/10/2026 - 16:57 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 30 Okt - Malakoff Corporation Berhad (Malakoff) memperkenalkan program sukuk hijau bernilai RM700 juta bagi membiayai sebahagian pembangunan loji penjanaan elektrik daripada sisa pepejal (WTE) pertama di Melaka yang dijangka siap pada 2029.
Loji yang dibangunkan di Sungai Udang itu mampu memproses sehingga 1,056 tan sampah sehari dan mempunyai kapasiti penjanaan tenaga elektrik boleh baharu kasar sebanyak 22.1 megawatt (MW), sekali gus membantu mengurangkan kebergantungan negeri itu terhadap tapak pelupusan sampah.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malakoff, Syahrunizam Samsudin berkata, pembangunan loji berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha kumpulan memperluas perniagaan pengurusan sisa dan penjanaan tenaga secara mampan.
“Setiap tan sisa yang kami rawat dan bukannya dihantar ke tapak pelupusan membantu mengurangkan pelepasan gas metana, di samping menjana tenaga boleh baharu dalam proses berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Malakoff, loji berkenaan dijangka dapat mengurangkan lebih 300,000 tan sampah yang dihantar ke tapak pelupusan setiap tahun, selain mengelakkan pelepasan kira-kira 75,000 tan karbon dioksida setahun.
Bagi membiayai projek tersebut, anak syarikatnya, Sungai Udang WTE Sdn Bhd mengemukakan Program Sukuk Wakalah Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI) Hijau ASEAN bernilai RM700 juta kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), dengan tempoh program selama 30 tahun.
Program sukuk itu menerima penarafan jangka panjang awal AA-IS daripada MARC Ratings Berhad, manakala dana yang diperoleh daripada terbitan sukuk kelak akan digunakan untuk membiayai sebahagian kerja pembangunan, reka bentuk dan pembinaan loji berkenaan.
Projek Sungai Udang WTE dilaksanakan menerusi konsesi selama 34 tahun yang berkuat kuasa pada 18 Jun 2026, dengan Sungai Udang WTE dimiliki 60% secara langsung oleh Malakoff dan baki 40% oleh Alam Flora Environmental Solutions Sdn Bhd (AFES), anak syarikat dalam kumpulan Malakoff.
Syahrunizam berkata, projek itu turut menyokong sasaran kumpulan meningkatkan kapasiti pengurusan sisa kepada 10,000 tan sehari menjelang 2031, berbanding kapasiti pengurusan sisa sedia ada sehingga 6,200 tan sehari menerusi Alam Flora.
Beliau berkata, rancangan kerajaan membangunkan 18 loji WTE di seluruh negara turut membuka peluang kepada Malakoff untuk memperluas perniagaan penyelesaian alam sekitar, manakala RHB Investment Bank Berhad dilantik sebagai penasihat utama, penyusun utama dan pengurus utama program sukuk tersebut.- DagangNews.com


