Malakoff guna isirung kelapa sawit sebagai 5% bahan pembakaran TBP pada 2027 - RHB Research

LocalBusiness & Finance
5 Oct 2026 • 2:28 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Malakoff guna isirung kelapa sawit sebagai 5% bahan pembakaran TBP pada 2027 - RHB Research Image from: Malakoff guna isirung kelapa sawit sebagai 5% bahan pembakaran TBP pada 2027 - RHB Research hamden05/10/2026 - 14:28 Loji Tanjung Bin Power (TBP) di Johor. - Gambar/Malakoff/RHB research Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 5 Okt - Malakoff Corp Bhd dijangka memulakan percubaan pembakaran bersama 5% biojisim di loji Tanjung Bin Power (TBP) pada 2027, sebagai sebahagian daripada usaha mengurangkan pelepasan karbon loji berkapasiti 2,100MW itu, menurut RHB Research.

 

Firma penyelidikan itu yang mengunjungi TBP bagi menyaksikan sendiri operasi penuh loji berkenaan berkata, pengurusan Malakoff menyasarkan nisbah pembakaran bersama biojisim jangka panjang sebanyak 15%.

 

Katanya, TBP menggunakan tempurung isirung kelapa sawit (PKS) sebagai bahan suapan yang akan diperoleh daripada empat pembekal tempatan dan dipunggah di jeti.

 

Firma itu menjelaskan walaupun inisiatif itu tidak dijangka memberi sumbangan besar kepada pendapatan Malakoff dalam tempoh terdekat, langkah berkenaan dilihat positif bagi mengurangkan pelepasan karbon loji.

 

"Pada masa sama, inisiatif pembakaran bersama itu berpotensi memberi manfaat kepada Malakoff ketika kumpulan meneroka kemungkinan melanjutkan perjanjian pembelian tenaga (PPA) TBP selepas tamat tempohnya pada 2031," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

biomass malakoff
Bahan pembakaran biomass. - Gambar/Malakoff/RHB Research

 

RHB Research yang mengekalkan saranan BELI terhadap Malakoff dengan harga sasaran RM1 berkata, kompleks TBP di Johor kini berada di landasan untuk kembali beroperasi seperti biasa susulan pemulihan penuh operasi TBP dan jeti.

 

Loji TBP terima bayaran kapasiti penuh tahun depan

TBP kembali beroperasi sepenuhnya pada beban asas selepas turbin Unit 30 ditauliahkan pada Ogos. 

 

Firma itu menjangkakan sumbangan TBP bertambah baik mulai suku keempat FY26 (4Q26), manakala penetapan semula kadar gangguan tidak berjadual (UOR) pada tahun depan dijangka membolehkan loji menerima bayaran kapasiti penuh.

 

Susulan itu, faktor ketersediaan tenaga (EAF) TBP diunjurkan meningkat kepada 90% tahun depan berbanding 50% tahun ini, manakala faktor kapasiti dijangka meningkat kepada 77% daripada 48%.

 

Operasi tali sawat penghantar arang batu di jeti juga telah kembali beroperasi sepenuhnya selepas kerja-kerja pembuangan serpihan selesai pada Jun. Malakoff dijangka melaksanakan penghantaran terakhir arang batu melalui tongkang pada bulan ini.

 

Sementara itu RHB Research berkata TP yang ditetapkan memberikan potensi peningkatan 29% serta hasil FY27F sekitar 4%. 

 

Harga sasaran RM1 itu, termasuk diskaun ESG sebanyak 12%, adalah berdasarkan gandaan P/E FY27F sebanyak 24 kali, hampir +1 sisihan piawai daripada purata, bagi mencerminkan peningkatan pendapatan dan prospek loji gas baharu.

 

Unjuran pendapatan kekal

Tiada perubahan dibuat terhadap unjuran EPS FY26F hingga FY28F.

 

Malakoff sebelum ini telah menempah empat turbin sebagai sebahagian daripada rancangan membina dua loji janakuasa gas baharu berkapasiti 1.4GW setiap satu di Port Dickson, Negeri Sembilan dan Segari, Perak.

 

Menurut RHB Research, pentauliahan loji berkenaan dijangka tepat pada masanya untuk menggantikan TBP apabila PPA loji itu tamat pada September 2031.

 

Sekiranya Malakoff memenangi bidaan untuk membina loji gas baharu berkapasiti 1.4GW, penganalisis menganggarkan projek itu berpotensi memberikan peningkatan 42% kepada harga sasaran. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved