Untung Press Metal dijangka susut hingga 18% akibat tekanan kos alumina - RHB Research

LocalBusiness & Finance
13 Nov 2026 • 4:33 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Untung Press Metal dijangka susut hingga 18% akibat tekanan kos alumina - RHB Research Image from: Untung Press Metal dijangka susut hingga 18% akibat tekanan kos alumina - RHB Research sarah13/11/2026 - 16:33 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 13 Nov - Keuntungan bersih Press Metal Aluminium Holdings Berhad dijangka menyusut antara 11% hingga 18% kepada RM610 juta hingga RM660 juta pada suku ketiga 2026, apabila peningkatan kos bahan mentah dan penyusutan harga aluminium memberi tekanan kepada margin keuntungan kumpulan, menurut RHB Investment Bank.

 

Firma penyelidikan itu berkata, tekanan kos semakin ketara susulan pengurangan pengeluaran di beberapa loji penapisan alumina antarabangsa, termasuk kemudahan Yarwun milik Rio Tinto yang mengurangkan pengeluaran sebanyak 40% sejak Oktober 2026, selain gangguan pengeluaran di loji Alunorte milik Norsk Hydro.

 

Menurut RHB Research, perkembangan tersebut mendorong kenaikan kos alumina sebanyak 9% berbanding suku sebelumnya, sekali gus meningkatkan nisbah kos bahan mentah itu kepada harga aluminium kepada 11%, berbanding 9% pada suku kedua 2026.

 

"Prestasi yang lebih lemah terutamanya disebabkan penurunan harga aluminium sebanyak 9% berbanding suku sebelumnya, selain peningkatan kos alumina," menurut firma penyelidikan itu.

 

Keputusan kewangan diumumkan 26 November

RHB Research menjangkakan harga purata aluminium bagi suku ketiga berada pada AS$3,228RM13,558) satu tan, manakala premium penghantaran ke pelabuhan utama Jepun menyusut 4% kepada AS$303 (RM1,273) satu tan, sekali gus mengehadkan keuntungan tambahan yang boleh diperoleh Press Metal.

 

Bagaimanapun, keuntungan suku ketiga masih diunjurkan meningkat antara 3% hingga 11% berbanding tempoh sama tahun lalu, disokong harga aluminium yang lebih tinggi sebanyak 23% dan kos alumina yang lebih rendah sebanyak 2% secara tahunan, walaupun sebahagian manfaat itu diimbangi kenaikan kos anod karbon sebanyak 19%. Press Metal dijadualkan mengumumkan keputusan kewangannya pada 26 November ini.

 

Kos bahan mentah dijangka kekal tinggi

RHB Research turut menaikkan andaian kos alumina bagi tahun kewangan 2026 kepada AS$390 (RM1,638) satu tan daripada AS$375 (RM1,575) sebelumnya, berikutan pengurangan pengeluaran dan peningkatan kos bahan mentah. Firma itu menjangkakan tekanan kos berkenaan berterusan sehingga akhir tahun ini.

 

Sehubungan itu, RHB Research menyemak turun unjuran keuntungan Press Metal bagi tahun kewangan 2026 dan 2027 masing-masing sebanyak 4.4% dan 2.7%. Bagaimanapun, keuntungan bersih berulang kumpulan masih diunjurkan mencecah RM2.59 bilion pada 2026 dan meningkat kepada RM2.76 bilion pada 2027.

 

Projek Kalimantan dijangka kurangkan kebergantungan bekalan luar

Dalam jangka panjang, projek penapisan alumina Kalimantan Alumina Nusantara (KAN) di Indonesia yang dijangka memulakan operasi pada 2027 berpotensi meningkatkan kemampuan Press Metal memenuhi keperluan bahan mentah sendiri, sekali gus mengurangkan pendedahan kepada ketidaktentuan harga dan bekalan alumina antarabangsa. Projek itu pernah dikenal pasti sebagai pemangkin pertumbuhan kumpulan dalam laporan penyelidikan terdahulu.

 

Walaupun berdepan tekanan kos, RHB Research mengekalkan saranan 'beli' terhadap Press Metal dengan harga sasaran baharu RM9.05 sesaham berbanding RM9.30 sebelumnya, mencerminkan potensi kenaikan 31.2% daripada harga rujukan RM6.90. Firma itu berpandangan prospek jangka panjang kumpulan masih disokong harga aluminium yang tinggi serta pengukuhan bekalan bahan mentah melalui projek KAN.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved