sarah06/11/2026 - 09:09 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 6 Nov - Permintaan terhadap teknologi kecerdasan buatan (AI) yang terus meningkat dijangka memacu ViTrox Corporation Berhad mencatat prestasi suku tahunan paling kukuh bagi tahun kewangan 2026, disokong peningkatan tempahan dan penghantaran mesin pemeriksaan semikonduktor.
BIMB Securities Research berkata, prospek pertumbuhan ViTrox kekal positif berikutan tiada petunjuk jelas bahawa syarikat teknologi utama dunia akan memperlahankan perbelanjaan berkaitan AI, sekali gus menyokong permintaan terhadap peralatan pemeriksaan elektronik syarikat itu.
Menurut firma penyelidikan berkenaan, aliran tempahan yang kukuh dijangka meningkatkan penghantaran mesin dan hasil ViTrox pada suku keempat 2026, dengan potensi keuntungan lebih tinggi sekiranya penghantaran dapat dilaksanakan lebih awal daripada jangkaan.
Prestasi itu turut disokong keputusan kewangan suku ketiga berakhir 30 September 2026 yang menyaksikan hasil ViTrox melonjak 112.2% kepada RM485.1 juta berbanding RM228.6 juta setahun sebelumnya, sekali gus melepasi sasaran tertinggi RM400 juta yang ditetapkan pengurusan.
Keuntungan bersih teras syarikat pula melonjak 287.8% kepada RM118.7 juta, dipacu permintaan tinggi terhadap mesin pemeriksaan papan elektronik automatik (ABI) dan sistem pemeriksaan penglihatan mesin (MVS), selain peningkatan margin keuntungan kepada 24.5% daripada 13.4% sebelumnya.
Bagi sembilan bulan pertama 2026, ViTrox merekodkan keuntungan bersih teras RM254.1 juta, meningkat 193.7% berbanding tempoh sama tahun lalu, sekali gus mengatasi jangkaan BIMB Securities dan konsensus pasaran.
Susulan prestasi kukuh itu, BIMB Securities menaikkan unjuran keuntungan ViTrox bagi tahun kewangan 2026 hingga 2028 antara 13.7% hingga 17.1%, dengan keuntungan bersih teras dijangka mencecah RM368.4 juta pada 2026 dan meningkat kepada RM448.3 juta pada 2027.
Firma penyelidikan itu turut menaikkan saranan saham ViTrox kepada 'beli' dengan harga sasaran RM11.80 berbanding RM10.30 sebelum ini, mencerminkan potensi kenaikan 11.4% daripada harga rujukan RM10.60, didorong prospek permintaan AI yang berterusan serta peluang peningkatan keuntungan.- DagangNews.com






