sarah19/10/2026 - 09:03 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 19 Okt - Malaysia berdepan risiko kehilangan daya saing dalam industri semikonduktor global sekiranya gagal mempercepat pelaburan dalam teknologi bernilai tinggi, ketika negara pesaing seperti Singapura, Vietnam dan China semakin agresif merebut peluang daripada ledakan kecerdasan buatan (AI).
Menurut BIMB Securities Research (BIMB Securities), persoalan utama kini bukan lagi mengenai permintaan terhadap semikonduktor, sebaliknya sejauh mana Malaysia mampu meningkatkan pelaburan dengan pantas bagi mengekalkan kedudukannya dalam industri pembuatan cip generasi baharu.
Firma penyelidikan itu berkata, walaupun Malaysia mempunyai pengalaman lebih lima dekad dalam aktiviti pemasangan, pengujian dan pembungkusan semikonduktor, kelebihan tersebut mungkin tidak lagi mencukupi apabila industri beralih kepada pembungkusan termaju, reka bentuk cip, bahan semikonduktor serta penyelidikan dan pembangunan (R&D).
"Peluang daripada AI semakin jelas. Persoalan yang lebih besar ialah sama ada Malaysia mampu melabur dengan cukup pantas untuk kekal relevan dalam pembuatan semikonduktor generasi akan datang," menurut firma itu dalam laporan tematik sektor teknologi.
BIMB Securities berkata, persaingan semakin sengit apabila Singapura kembali memperkukuh kedudukan dalam pembungkusan termaju, Vietnam mempercepat pembangunan bakat dan usaha menarik pelaburan langsung asing (FDI), manakala China terus melabur secara besar-besaran dalam rantaian nilai semikonduktor meskipun berdepan sekatan teknologi.
Dalam persidangan teknologi anjurannya baru-baru ini, Felo Kanan MIMOS, David Khor, menjangkakan permintaan dipacu AI berpotensi meningkatkan nilai pasaran semikonduktor global daripada kira-kira AS$800 bilion (RM3.27 trilion) ketika ini kepada AS$1.5 trilion (RM6.13 trilion) dalam beberapa tahun akan datang, dengan beberapa syarikat semikonduktor Malaysia dilaporkan mempunyai tempahan tertunggak sehingga 2028.
Bagaimanapun, firma itu menegaskan bahawa peningkatan eksport semata-mata tidak menjamin penciptaan nilai tempatan yang lebih tinggi kerana industri negara masih banyak bergantung kepada komponen dan teknologi import. Justeru, Malaysia perlu menguasai lebih banyak aktiviti bernilai tinggi dalam rantaian bekalan semikonduktor bagi meraih manfaat lebih besar daripada pertumbuhan AI.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Silicon Connect, Dr YT Chin, menjelaskan bahawa kemajuan prestasi cip semakin bergantung kepada teknologi pembungkusan termaju dan integrasi pelbagai cip, berikutan peningkatan kos serta kesukaran mengecilkan transistor. Peralihan ini membuka peluang kepada syarikat Malaysia dalam bidang peralatan semikonduktor, kejuruteraan ketepatan, automasi, pengujian dan bahan termaju.
"Malaysia perlu terus melabur dalam keupayaan pembungkusan termaju, R&D dan pembangunan bakat bagi mengelakkan negara terus tertumpu kepada aktiviti pemasangan bernilai rendah. Jika tidak, Malaysia berisiko ketinggalan berbanding pesaing serantau yang lebih agresif meningkatkan kedudukan dalam rantaian nilai semikonduktor," menurut penilaian BIMB Securities.
Di sebalik cabaran itu, BIMB Securities mengekalkan saranan 'Overweight' terhadap sektor teknologi, mengambil kira prospek pertumbuhan jangka panjang yang disokong permintaan AI. Firma itu berpandangan syarikat teknologi tempatan yang mempunyai kedudukan kewangan kukuh perlu lebih berani melabur dalam pengembangan kapasiti, pembangunan teknologi dan bakat, dengan Inari Amertron Bhd serta SkyeChip Bhd masing-masing menjadi pilihan utamanya pada penarafan 'Beli' dan harga sasaran RM2.90 serta RM3.79.- DagangNews.com





