Malaysia Bersinar Di Pentas Asia: Vogue Singapore Angkat Suara Serantau

Women's FashionLifestyle
27 Oct 2025 • 11:38 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Lazimnya, dunia fesyen sering berputar di sekitar kota-kota besar seperti Paris, Milan dan New York.

Namun kini gemerlapan cahaya itu mula beralih ke Asia Tenggara dan Malaysia jelas berdiri di barisan hadapan.

Ketika Vogue Singapore meraikan ulang tahun kelimanya melalui acara NEXT IN VOGUE 2025 dan Majlis Gala Ulang Tahun Kelima, nama-nama Malaysia bergema di pentas antarabangsa; membuktikan bahawa bakat tempatan bukan sekadar mengikut arus, tetapi mencipta gelombang baharu fesyen Asia.

Ketua Pemasaran Vogue Singapore, Petra Sekhar berkata, nama Malaysia semakin kukuh di persada fesyen global. 

image is not available
Petra Sekhar

Tanpa berselindung beliau berkata, pencapaian itu jelas membanggakan dirinya selaku anak Malaysia yang mencari rezeki di rantau orang. 

“Ketika Vogue Singapore meraikan tahun bersejarah ini, kami berbangga melihat Asia Tenggara terutamanya Malaysia mengambil tempat utama dalam membentuk masa depan fesyen global.

“Daripada bakat muda seperti Dikson Mah, yang tampil di pertunjukan pentas makan malam gala kami, hingga ke pereka couture terkenal dunia Rizman Nordin daripada Rizman Ruzaini, yang mengetuai panel fesyen sederhana kami, barisan pereka Malaysia ini menyerlahkan inovasi, ketukangan dan kedalaman budaya yang mendefinisikan bab seterusnya fesyen Asia,” katanya bangga. 

Jelas Petra, NEXT IN VOGUE komited untuk terus mengangkat semua suara itu.

Kenyataan Petra itu sedikit sebanyak mencerminkan senario sebenar ketika ini iaitu kebangkitan Malaysia sebagai kuasa budaya dan kreatif yang semakin mendapat tempat di mata dunia.

Dikson Mah & Rizman Ruzaini: Dua Nama, Dua Jiwa, Satu Malaysia

Antara momen paling berkesan di Vogue Gala 2025 ialah ketika Dikson, pereka muda dari Malaysia, mempersembahkan koleksi coutureeksklusifnya di pentas akhir. 

Bersama nama-nama besar lain dari rantau ini seperti Putri Adif (Singapura), Toton (Indonesia) dan Le Thanh Hoa (Vietnam), penampilan Dikson melambangkan generasi baharu fesyen Asia Tenggara yang segar, berani dan tidak takut untuk bereksperimen.

image is not available

Sementara itu, Rizman Nordin dari label tersohor Rizman Ruzaini tampil sebagai suara utama dalam panel fesyen sederhana (modest fashion), membincangkan bagaimana identiti dan keanggunan boleh berpadu tanpa kehilangan nilai budaya dan spiritual.

Kedua-dua nama ini, dalam gaya dan pendekatan berbeza, memperlihatkan bahawa fesyen Malaysia kini bukan sekadar cantik di mata, tetapi sarat makna dan keaslian.

Fesyen Sebagai Cerminan Budaya Dan Inovasi

Acara NEXT IN VOGUE 2025, yang berlangsung di Resorts World Sentosa, bukan sekadar perhimpunan glamor, sebaliknya wadah bagi lebih 2,000 tetamu; dari pereka, pelabur, selebriti hingga penggiat kreatif untuk membincangkan hala tuju baharu fesyen global.

Antara yang menarik perhatian ialah Vogue Closet: Asia Reimagined, pameran yang mempersembahkan 15 busana couture dari seluruh rantau ini termasuk karya Rizman Ruzaini. 

image is not available

Gaun-gaun yang dipamerkan bukan sekadar hasil tangan, tetapi naratif visual tentang warisan, keberanian dan identiti Asia.

Rituals & Radiance: Warisan Yang Dihidupkan Semula

Tema Majlis Gala Ulang Tahun Kelima Vogue Singapore, “Rituals and Radiance: Heritage Reborn, Couture Disrupted,” menyeru tetamu untuk menyelami asal usul budaya mereka lalu menzahirkan semula warisan itu dalam bentuk moden.

Antara tetamu yang mencuri perhatian termasuk Aimee Cheng-Bradshaw dalam rekaan Brian Khoo dari Malaysia, serta personaliti fesyen lain dari seluruh rantau ini.

Acara itu turut menjadi pentas bagi persembahan istimewa Tabitha Nauser dan Yung Raja, selain penghormatan kepada bakat muda menerusi Vogue Singapore Talent Prize dan Vogue x BMW Group Asia Innovation Prize.

image is not available
Natasha Damodaran ketika menyampaikan ucapan

Penerbit Vogue Singapore, Natasha Damodaran berkata, pihaknya amat teruja melihat sambutan terhadap NEXT IN VOGUE 2025, yang terus berkembang sebagai platform utama bagi fesyen dan komuniti kreatif Asia Tenggara.

“Dengan menghimpunkan pereka dan pemikir terkemuka dunia bersama suara baharu serantau, kami membuka lembaran baharu peluang untuk komuniti kreatif di rantau ini,” katanya. 

Melihat kepada pencapaian pereka seperti Rizman Ruzaini, Brian Khoo dan Dikson Mah, jelas bahawa masa depan fesyen Malaysia semakin bersinar, bukan sahaja di pentas tempatan, tetapi juga di mata dunia.

NEXT IN VOGUE 2025 dibawakan oleh Singapore Tourism Board dan Resorts World Sentosa, dengan kerjasama jenama global seperti Burberry, Mikimoto, Givenchy, Dyson, COS, Zalora Luxury dan banyak lagi.

Pengumuman rasmi untuk NEXT IN VOGUE 2026 dijadualkan pada Mac 2026. - Getaran, 27 Oktober 2025