
BANDAR SRI BEGAWAN - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dikurniakan Darjah Kerabat Laila Utama Yang Amat Dihormati (D.K.), antara darjah kebesaran tertinggi Brunei, oleh Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah, sempena lawatan rasmi beliau ke negara itu.
Darjah tersebut yang membawa gelaran Dato Laila Utama dikurniakan dalam satu istiadat yang berlangsung di Cheradi Laila Kenchana, Istana Nurul Iman hari ini.
Anwar menerusi hantaran di Facebook menzahirkan penghargaan kepada Sultan Hassanal atas pengurniaan tersebut, sambil menyifatkannya sebagai satu penghormatan yang cukup bermakna serta mencerminkan keakraban hubungan antara Malaysia dan Brunei.
Menurut beliau, pengurniaan itu turut menjadi lambang hubungan istimewa serta ikatan persahabatan yang telah sekian lama terjalin antara kedua-dua negara.
Istiadat itu diadakan bersempena penyertaan Anwar dalam Perundingan Tahunan Pemimpin Kali Ke-27 (ALC-27), yang menyaksikan pemimpin Malaysia dan Brunei dijangka meneliti perkembangan kerjasama dua hala serta bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa.
Turut hadir ialah Putera Mahkota Brunei merangkap Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah; Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg; Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor; serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Darjah Kerabat Laila Utama Yang Amat Dihormati merupakan antara darjah kebesaran tertinggi Brunei.
Rekod Kementerian Luar menunjukkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, turut pernah dikurniakan darjah kebesaran sama ketika melakukan lawatan ke Brunei.
Terdahulu, Anwar bersama delegasi Malaysia tiba di Istana Nurul Iman kira-kira jam 11 pagi dan disambut Sultan Hassanal sebelum meneruskan jadual rasmi sepanjang hari.
Kedua-dua pemimpin turut dijadual menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman berkaitan kerjasama pengurusan bencana, yang akan memperkukuh penyelarasan serta bantuan antara Malaysia dan Brunei ketika berdepan situasi kecemasan dan bencana alam.
Anwar tiba di Brunei semalam, bagi lawatan kerja dua hari yang tertumpu kepada ALC-27, sebuah platform penting bagi kedua-dua negara membincangkan pelbagai perkara dua hala serta memperkukuh lagi kerjasama Malaysia-Brunei. - Getaran, 22 Ogos 2026






