
PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima Darjah Kerabat Laila Utama Yang Amat Dihormati (D.K) daripada Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah hari ini.
Penganugerahan darjah kebesaran berkenaan yang lazimnya dikurniakan kepada kerabat diraja serta kenamaan negara disifatkan Anwar sebagai amat bermakna serta menjadi lambang keakraban dan persaudaraan istimewa antara Malaysia dengan Brunei.
“Penganugerahan ini amat bermakna dan menjadi lambang keakraban serta persaudaraan istimewa antara Malaysia dengan Negara Brunei Darussalam,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Penganugerahan itu berlangsung ketika Anwar mengadakan lawatan kerja dua hari ke Brunei bagi menghadiri Rundingan Pemimpin Tahunan ke-27 (ALC-27) antara Malaysia dan Brunei.
Sebelum itu, Perdana Menteri menghadap Sultan Hassanal Bolkiah dan mengadakan pertemuan empat mata di Istana Nurul Iman, semalam.
Kedua-dua pemimpin dijangka menyaksikan majlis penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai kerjasama pengurusan bencana dalam lawatan berkenaan.-UTUSAN
The post Sultan Brunei kurnia darjah kebesaran tertinggi kepada Anwar appeared first on Utusan Malaysia.






