amree20/11/2026 - 09:30 Gambar hiasan - BERNAMA Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 20 Nov — Sebanyak RM12.15 bilion daripada komitmen pembiayaan dan sokongan perniagaan berjumlah RM15 bilion sudah disalurkan kepada 313,912 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta koperasi di seluruh negara setakat akhir Oktober 2026.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim berkata, kementerian melaksanakan mekanisme pemantauan menerusi agensi berkaitan bagi memastikan kemudahan pembiayaan itu sampai kepada kumpulan sasaran dan digunakan untuk mengembangkan perniagaan.
Beliau berkata, TEKUN Nasional antaranya menjalankan lawatan ke premis usahawan serta pemantauan digital menerusi aplikasi Mobile App Collector dan TEKUNPay Web, selain memantau segala prestasi pembayaran balik bagi mengenal pasti penerima yang memerlukan bantuan.
"Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) pula turut melaksanakan pemantauan secara berterusan melalui ramai pegawai lapangan di 117 pejabat cawangan seluruh negara bagi memastikan pembiayaan dimanfaatkan untuk pembangunan perniagaan," katanya di Dewan Rakyat pada Khamis.
Sim menjawab soalan dikemukakan oleh Dr Hajah Halimah Ali (PN-Kapar) mengenai mekanisme pemantauan pembiayaan RM15 bilion serta usaha memastikan inisiatif PowerUp 10K memberi kesan kepada kos sara hidup melalui sokongan kepada PMKS tempatan.
Dalam pada itu ujar beliau, Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad turut menjalankan proses saringan kelayakan, pemantauan penggunaan dana, lawatan ke premis serta penilaian berkala terhadap prestasi pembiayaan dan perkembangan perniagaan penerima dana.

Bank Pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SME Bank) juga menilai prestasi tahunan setiap pelanggan dan menyediakan intervensi menerusi latihan, bimbingan serta khidmat nasihat di bawah Centre for Entrepreneur Development and Research (CEDAR).
"Sokongan kerajaan menerusi pelbagai agensi bukan sekadar memperluas akses kepada modal, malah bertujuan membantu PMKS mengurangkan kos operasi, meningkatkan produktiviti serta memperkukuh bekalan barangan dan perkhidmatan tempatan," tegas Sim.
Antara langkah yang dilaksanakan termasuk pemendekan tempoh pemprosesan pembiayaan TEKUN Nasional daripada 10 kepada lima hari bekerja, selain program SME Corp Malaysia menggalakkan penggunaan teknologi, pendigitalan dan pengukuhan rantaian bekalan.
Bagi mengurangkan kos operasi dan sewaan, UDA Holdings Berhad menyediakan moratorium sewa hingga tiga bulan serta diskaun sewa 10% kepada 767 penyewa dengan peruntukan RM3 juta. Bantuan kos utiliti dan caj perkhidmatan turut disediakan berjumlah RM4.8 juta.
Selain itu, Program Insentif Usahawan UDA (PIUU) menyediakan bantuan RM368,000 kepada 533 usahawan mikro dan kecil menerusi penganjuran acara, karnival serta aktiviti promosi bagi memperluas peluang pasaran tempatan. - DagangNews.com





