Malaysia hantar surat kepada Sekretariat ASEAN berkaitan isu jerebu

LocalEnvironment
23 Aug 2026 • 1:33 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Malaysia hantar surat kepada Sekretariat ASEAN berkaitan isu jerebu

KUALA LUMPUR: Malaysia telah mengemukakan surat kepada Sekretariat ASEAN bagi membincangkan usaha bersama menangani isu jerebu yang memberi kesan kepada negeri Sarawak.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, surat berkenaan telah dihantar oleh Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Katanya, langkah itu bertujuan mendapatkan kerjasama negara anggota ASEAN dalam mencari penyelesaian bersama agar setiap negara terlibat perlu bertanggungjawab terhadap masalah jerebu yang berlaku.

“Setiap negara ASEAN perlu memainkan peranan masing-masing bagi memastikan masalah jerebu dapat ditangani secara berkesan.

“Surat itu sudah dihantar oleh Datuk Seri Mohamad Hasan dan dia nak tengok macam mana dalam ASEAN kita boleh bersama-sama menyelesaikan soal jerebu ini kerana setiap negara dalam ASEAN kena main peranan untuk memastikan penguatkuasaan pembakaran terbuka, pembakaran ladang.

“Perlu kita pastikan bahawa ini adalah perkara sangat penting, maka isu ini akan dibincang oleh Datuk Mohamad kepada rakan-rakan sejawat dia di ASEAN,”katanya pada sidang akhbar Perasmian Prog-Alpha Gen Talent @ Kemas di Arena Sukan KL, hari ini.

Sebelum ini, Malaysia akan mengemukakan surat rasmi kepada Sekretariat ASEAN berhubung isu pembakaran terbuka di negara jiran yang menyebabkan cuaca jerebu bertambah teruk, khususnya di Sarawak.

Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pada masa sama, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup akan mengutus surat kepada rakan sejawatannya di negara berkenaan dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai lawatan rasmi ke Brunei bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini, Johari berkata kunjungan tersebut merupakan sebahagian daripada hubungan dua hala antara Malaysia dan Brunei.

Katanya, lawatan berkenaan diadakan secara bergilir setiap tahun, dengan Brunei dijangka mengadakan kunjungan ke Malaysia pada tahun depan.

“Lawatan itu memang rutin yang kita laksanakan setiap tahun. Tahun ini kita pergi ke sana, manakala tahun depan mereka pula akan datang ke Malaysia.

“Jadi, kali ini memang giliran kita untuk berkunjung ke Brunei. Ia hanya pertemuan dua hala yang diadakan seperti biasa, tidak ada perkara lain,” katanya. –UTUSAN

The post Malaysia hantar surat kepada Sekretariat ASEAN berkaitan isu jerebu appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved