Malaysia, India teroka peluang kerjasama dan perkongsian teknologi sawit - Noraini

LocalBusiness & Finance
29 Sep 2026 • 4:31 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Malaysia, India teroka peluang kerjasama dan perkongsian teknologi sawit - Noraini Image from: Malaysia, India teroka peluang kerjasama dan perkongsian teknologi sawit - Noraini hamden29/09/2026 - 16:31 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 29 Sept - Malaysia dan kumpulan perniagaan India, Godrej Industries Group serta Godrej Agrovet Limited meneroka peluang memperluas kerjasama merentasi rantaian nilai industri sawit, termasuk perdagangan minyak sawit, pembangunan bahan tanaman serta penyelidikan dan teknologi perladangan.

 

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad mengadakan pertemuan dengan wakil kedua-dua syarikat itu di Bengaluru pada 28 September 2026 dalam usaha memperkukuh kerjasama Malaysia–India dalam sektor sawit.

 

Pertemuan bersama Ketua Kumpulan dan Presiden, Hal Ehwal Korporat Godrej Industries Group, Rakesh Swami serta Ketua Pegawai Eksekutif Perniagaan Sawit Godrej Agrovet, Sougata Niyogi memberi tumpuan kepada perdagangan minyak sawit, pembangunan bahan tanaman serta perkongsian kepakaran dalam penyelidikan dan teknologi perladangan.

 

Noraini India 01

 

Godrej Industries Group merupakan antara kumpulan perniagaan utama India, manakala Godrej Agrovet terlibat secara aktif dalam pembangunan industri sawit negara itu, khususnya dalam aspek produktiviti dan pengukuhan rantaian nilai.

 

Kedua-dua pihak turut membincangkan potensi kerjasama dalam segmen hiliran seperti oleokimia, surfaktan dan bahan kimia khusus.

 

Kerjasama berkenaan berpotensi membuka ruang kepada kepakaran, teknologi dan produk sawit Malaysia untuk menyokong pembangunan industri sawit India yang lebih produktif dan berdaya saing.

 

Dalam pada itu Noraini yang dalam lawatan kerja rasmi ke India turut mengadakan beberapa pertemuan lain termasuk dengan syarikat utama India, ITC Limited.

 

Noraini India 02

 

Kerjasama dalam kualiti dan jaminan bekalan

Dalam pertemuan itu kedua-dua pihak bersetuju untuk meneroka potensi kerjasama membabitkan bekalan minyak sawit berkualiti dan mampan, lemak khusus serta ramuan makanan berasaskan sawit untuk pelbagai aplikasi termasuk bakeri, konfeksi, snek dan makanan mudah disediakan.

 

Perbincangan turut menyentuh aspek kualiti, jaminan bekalan, kebolehkesanan dan kemampanan, selain peluang penglibatan syarikat Malaysia dalam rantaian perolehan ITC.

 

MPOC pula bersedia memudah cara hubungan antara ITC, rakan perolehannya dan syarikat Malaysia bagi memperluas kerjasama komersial serta teknikal.

 

noraini 03

 

Potensi teknologi satelit dan penderiaan jauh

Sementara itu, Noraini turut mengadakan perbincangan dengan syarikat teknologi SatSure bagi meneroka meneroka aplikasi teknologi satelit, penderiaan jauh dan AI dalam sektor perladangan negara.

 

SatSure yang berpangkalan di Bengaluru memanfaatkan data pemerhatian bumi, imejan satelit, penderiaan jauh dan AI untuk menghasilkan analisis bagi menyokong proses membuat keputusan dalam pelbagai sektor termasuk pertanian, perhutanan, kewangan, infrastruktur dan utiliti.

 

Pertemuan bersama Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif SatSure, Prateep Basu serta Naib Presiden Produk SatSure, Vishal Thiruvedula memberi tumpuan kepada potensi aplikasi teknologi berkenaan dalam industri sawit.

 

Antara bidang yang diterokai termasuk pemantauan kesihatan tanaman, ramalan hasil, penilaian risiko iklim serta pengurusan sumber secara lebih cekap.

 

Perbincangan turut meneroka potensi pelaksanaan projek rintis membabitkan SatSure bersama institusi teknikal dan pemain industri perladangan Malaysia bagi menilai kesesuaian teknologi berkenaan dengan persekitaran serta keperluan industri tempatan. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved